Lih Kang (tengah) selepas merasmikan Kongres Tenaga Boleh Baharu Dunia ke-22 (WREC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR — Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR) dijangka dilancarkan hujung tahun ini, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

Beliau berkata, ia akan dibuat sebelum Persidangan ke-28 Konvensyen Rangka Kerja Mengenai Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP 28) yang dijadual berlangsung di Dubai bermula 30 November hingga 12 Disember 2023.

Pelan hala tuju itu sudah diluluskan selepas Mesyuarat Kabinet dan Mesyuarat Majlis Sains Negara (NSC).

“Saya ingin menegaskan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) memainkan peranan penting dalam menangani isu global iaitu perubahan iklim.

“Kita melihat kepada peralihan tenaga dan walaupun terdapat ketidaktentuan ekonomi global dan risiko krisis negara, kapasiti dan jumlah projek Tenaga Boleh Baharu (TBB) di seluruh dunia menunjukkan peningkatan sebanyak 10 peratus.

“MOSTI pastinya turut melihat kepada perkongsian awam-swasta bagi merancakkan usaha atau inisiatif ini dalam tenaga boleh diperbaharui ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kongres Tenaga Boleh Baharu Dunia ke-22 (WREC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Lih Kang turut menyaksikan majlis menandatangani dokumen kerjasama projek Mobile Hydrogen Refueling Station antara NanoMalaysia Berhad (NMB), Petronas, UMW dan Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang menyaksikan majlis menandatangani dokumen kerjasama projek Mobile Hydrogen Refueling Station antara wakil NanoMalaysia Berhad (NMB), Petronas, UMW dan Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) di Kongres Tenaga Boleh Baharu Dunia ke-22 (WREC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Kongres bertemakan Transition Towards a Carbon-Free Future yang berlangsung selama lima hari bermula 16 Julai lalu mengumpulkan penggubal dasar, pemain industri khususnya TBB, pelajar dan wakil komuniti dari dalam dan luar negara.

Terdahulu, dalam ucapannya Lih Kang berkata, HETR merupakan jawapan MOSTI bagi menangani tiga cabaran tenaga iaitu kebolehpercayaan, kemampuan dan kemampanan.

Ia antara lain dibuat sejajar usaha kerajaan mencapai sasaran penyahkarbonan.

“Saya percaya bahawa hidrogen boleh menjadi sumber tenaga penting dalam tempoh satu dekad ini yang disampaikan teknologi inovasi dan didorong perancangan sistematik.

“HETR yang bakal dilancarkan tidak lama lagi juga bukan sekadar peta jalan untuk penyahkarbonan melalui hidrogen tetapi juga dokumen hidup untuk teknologi baharu dan inovasi dalam peralihan tenaga,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan loji hidrogen yang pertama sudah dibangunkan di Sarawak dan dijangka mula beroperasi pada Oktober ini.

“Selain loji hidrogen di Sarawak, kita bercadang untuk membangunkan satu lagi di Semenanjung tapi nanti kita akan umumkan selanjutnya,” tambahnya.

Menurut beliau, perkembangan itu susulan percubaan kereta Toyota Mirai berkuasa hidrogen yang memberangsangkan di Sarawak. – MalaysiaGazette