MELAKA – Polis Kontinjen Melaka akan menggerakkan kira-kira 900 pegawai dan anggotannya untuk membantu kelancaran kempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, daripada jumlah itu sebahagian besar mereka akan ditempatkan di Negeri Sembilan yang bersempadan dengan Melaka.
“Kita diminta menyalurkan bantuan untuk PRN sebanyak 30 peratus daripada kekuatan Kontinjen Melaka yang mana kakitangan kita adalah hampir 3,000 orang.
“Saya pun dah beritahu pegawai supaya memastikan keanggotaan yang diatur gerak itu berada dalam keadaan sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan majlis serah terima tugas jawatan Timbalan Ketua Polis Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, di Bukit Beruang, di sini, hari ini.
Majlis menyaksikan penyerahan tugas jawatan itu oleh pemangku sebelum ini, Asisten Komisioner Mohamed Mahat kepada Senior Asisten Komisioner Md. Nazri Zawawi.
Mengulas lanjut Zainol berkata, pihaknya akan memastikan penghantaran kakitangan ke negeri berkenaan tidak mengganggu keperluan di Melaka termasuk bagi persediaan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) tahun depan.
“Menjelang TMM2024, banyak program-program pelancongan diadakan di Melaka yang mana kita juga perlu memastikan penugasan anggota di Melaka juga berjalan lancar,” katanya. – MalaysiaGazette