monopoli Bernas pihak sanusi
Ahmad Yahya

KUALA LUMPUR – Pas Kedah menyifatkan serangan berbau fitnah terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor ibarat mengali lubang kubur sendiri.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahya mendakwa, politik fitnah yang terus dimainkan oleh kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tanpa disedari sedang memakan diri sendiri.

“Satu demi satu fitnah yang cuba dihamburkan kepada Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor direncanakan bagi menjatuhkan reputasi cemerlang beliau ketika ini.

“Ironinya, situasi sebaliknya berlaku. Fitnah tersebut sedang menggali perkuburan PH-BN dengan lebih dalam,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu mendakwa, ketika ini amat ketara pemimpin PH dan BN serta jentera kerajaan dikerahkan untuk menjatuhkan imej serta karakter Muhammad Sanusi.

Menurut beliau, naratif yang disebarkan bahawa ‘Sanusi tidak berbuat apa-apa’ hanya menyelak semula cerita era pemerintahan sebelum ini.

“Pas Kedah yakin PH dan BN tidak ada modal lain yang lebih kuat untuk diketengahkan dalam PRN kali ini. Malah, ‘poster boy‘ mereka sendiri tidak terlawan dengan aura yang dibawa oleh Sanusi.

“PH-BN juga semakin hilang keyakinan terhadap ‘poster boy‘ mereka sehingga memaksa seluruh menteri madani turun beraksi di negeri jelapang padi ini,” kata Ahmad.

Beliau mendakwa, rancangan memburukkan imej Muhammad Sanusi ternyata gagal kerana sokongan rakyat kepada Menteri Besar Kedah itu sebaliknya semakin melonjak.

Ahmad juga mendakwa, gelombang rakyat khususnya anak muda untuk menolak PH dan BN dalam pilihan raya di enam negeri semakin dahsyat dan sukar untuk dibendung.

Menurut beliau, adalah tidak mustahil negeri-negeri yang selesa dengan PH dan BN sebelum ini bakal rebah ke bumi dan diambil alih oleh Perikatan Nasional.

“Insya-Allah rakyat di enam negeri khususnya Kedah sudah pun bersedia untuk memastikan PH, BN tersungkur menyembah bumi dan Sanusi sedang memimpin kebangkitan ini,” katanya penuh yakin.

Pilihan raya di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu akan berlangsung pada bulan depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast