Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media selepas Forum Nasional Kerangka Kerjaya Industri GIG di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 17 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) pada pembentangan Bajet 2024 Oktober depan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid juga menjangkakan fungsi SEGiM bagi mengawal selia ekosistem industri gig negara, akan mula berkuat kuasa selewat-lewatnya pada pertengahan Oktober depan, sejurus selepas ia diumumkan kelak.

“Saya yakin Perdana Menteri dan Kabinet akan meluluskannya selepas KSM membawa memorandum mengenai penubuhan suruhanjaya ini,” katanya pada Forum Kerangka Kerjaya Industri Gig, di sini, hari ini.

Hadir sama adalah Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Yang di-Pertua Dewan Negeri Pahang merangkap Pengerusi Sekretariat Komuniti GIG Malaysia, Datuk Seri Mohd Shakar Shamsudin dan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Jelas Ahamd Zahid, penubuhan SEGiM adalah untuk menyatu-padukan serta menjaga pekerja tidak formal dalam bidang ekonomi gig.

Ini disebabkan pekerja-pekerja ini tidak dikategorikan sebagai pekerja dan syarikat yang menawarkan perkhidmatan gig juga tidak dianggap sebagai majikan.

“Matlamat akhir untuk kerajaan tubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia. Saya umumkan Kementerian Sumber Manusia diberi tanggungjawab untuk mengemukakan memorandum kepada Kabinet bagi mendapatkan kelulusan Kabinet untuk penubuhan SEGiM.

“Oleh kerana pekerja tidak formal di Malaysia termasuk penggiat Gig tidak mendapat perlindungan,” katanya.

Dalam merealisasikan perkara itu, Ahmad Zahid telah meminta Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengemukakan satu memorandum kepada Kabinet bagi mendapatkan persetujuan serta kelulusan untuk penubuhan suruhanjaya tersebut.

“Penggiat industri ini atau pekerja tidak formal di Malaysia ini, tidak mendapat sebarang perlindungan melainkan jika mereka mencarum dengan PERKESO, malah selama beberapa tahun kegiatan penggiat ekonomi gig ini berjalan di negara ini, namun ketidakpedulian telah dialami oleh mereka.

“Syarikat penyedia perkhidmatan tidak menganggap mereka sebagai pekerja dan syarikat juga tidak menganggap sebagai majikan kepada penggiat industri ini. Kelompangan sebegini yang memerlukan keprihatinan kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO yakin peruntukan kepada industri pekerja tidak formal, khususnya peggiat gig akan dinaikkan daripada RM100 juta ketika ini kepada RM500 juta tahun depan.

“Tuntutan peningkatan peruntukan ini sangat munasabah kerana penggiat pekerja tidak formal ini jumlahnya lebih 1.16 juta, dan mereka hanya terima perlindungan sosial daripada PERKESO ketika ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yakin peruntukan kepada industri pekerja tidak formal, khususnya peggiat gig akan dinaikkan daripada RM100 juta ketika ini kepada RM500 juta tahun depan.

“Tuntutan peningkatan peruntukan ini sangat munasabah kerana penggiat pekerja tidak formal ini jumlahnya lebih 1.16 juta, dan mereka hanya terima perlindungan sosial daripada PERKESO ketika ini,” katanya. – MalaysiaGazette