SPRM Pahang bersama 187 kakitangan Tanah Makmur Berhad selepas menandatangani Ikrar Bebas Rasuah

KUANTAN – Seramai 187 warga kerja Tanah Makmur Berhad (TMB) dan anak syarikatnya hari ini menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Shahrul Nizam Abdul Aziz berkata, ikrar yang ditandatangani pada hari ini merupakan kali kedua selepas ikrar yang sama dimeterai pada 2019.

Beliau berkata, penganjurannya kali ini membuktikan komitmen syarikat dalam usaha menggalakkan tadbir urus lebih baik serta budaya integriti dalam organisasi.

Datuk Shahrul Nizam Abdul Aziz

“Ini salah satu inisiatif oleh pihak syarikat di mana kita ingin mendidik seluruh ahli warga kerja kumpulan termasuk saya sendiri supaya kita tahu cara pencegahan, cara untuk melaporkan dan paling penting cara perlindungan data dan perlindungan saksi itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengetuai lafaz ikrar dan menandatangani aku janji IBR pada majlis yang diadakan di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Pahang, Shazleen Md Noh yang menjadi saksi majlis menandatangani aku janji IBR dan Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya, Tuan Muhammad Hussin.

Lafaz Ikrar Bebas Rasuah bersama 187 kakitangan Tanah Makmur Berhad diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TMB, Datuk Shahrul Nizam Abdul Aziz

Dalam masa sama, Shahrul Nizam menjelaskan penganjuran program itu adalah komitmen syarikat dalam pencalonan Anugerah Integriti, Governans dan Anti Rasuah (AIGA 2023) bagi tahun ini.

“Jadi Anugerah AIGA ini kita telah sertai tahun lepas dan diberi pengiktirafan perak. Jadi tahun ini, kami akan masuk lagi sekali dengan harapan mendapat anugerah pingat emas,” tambahnya.

Selain itu, katanya, syarikat itu dalam proses untuk mendapatkan pensijilan piawaian ISO 37001:2016 iaitu Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) bagi membantu organisasi melaksana serta menambahbaik sistem pengurusan anti rasuah.

“Semua orang telah menandatangani surat aku janji itu. Saya rasa tu amat penting. Saya amat bersyukur kerana semua dapat hadir dan menyertai program hari ini,” jelasnya. – MalaysiaGazette