Seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah asrama dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini atas dakwaan membunuh adik kandungnya, awal bulan ini.

MELAKA – Seorang pelajar tingkatan dua dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini atas dakwaan membunuh adik kandungnya, awal bulan ini.

Tertuduh lelaki berusia 14 tahun itu bagaimanapun hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kematian terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun.

Kesalahan dilakukan antara pukul 11.30 pagi hingga 12.35 tengah hari di sebuah rumah di Kampung Bukit Piatu dalam daerah Melaka Tengah pada 5 Julai lalu.

Sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh hanya menunduk ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa sambil ditemani ibu bapanya di luar kandang saksi.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 22 Ogos untuk sebutan semula kes dan mengarahkan tertuduh dirujuk ke Hospital Permai di Tampoi, Johor untuk pemeriksaan psikiatri.

MalaysiaGazette pada 5 Julai lalu melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut dipercayai dicekik sehingga mati oleh abang kandungnya di rumah keluarga mereka kira-kira pukul 12 tengah hari.

Kejadian disedari ibunya yang terlihat perbuatan anak sulungnya itu melalui sistem sistem kamera litar tertutup (CCTV) dari telefon bimbitnya sebelum menghubungi jirannya untuk membantu melihat anaknya di rumah. – MalaysiaGazette.