Zaliha (kiri) merasmikan Jabatan Kecemasan dan Pesakit Luar Hospital Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.

BALIK PULAU – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang didakwa meninggal dunia akibat kecuaian pihak hospital di Selangor, baru-baru ini.

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, pihaknya melakukan siasatan dalaman untuk mengetahui lebih lanjut berhubung kejadian tersebut.

“Seperti saya sebutkan bahawa perkara ini (kematian budak perempuan) telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan dan kita dinasihatkan untuk tidak memberi sebarang komen sehingga siasatan selesai.

Zaliha (kanan).

“Dari segi siasatan dalam pula, ia merupakan prosedur biasa kerana setiap aduan yang diterima mesti kita jalankan siasatan,” katanya selepas merasmikan Jabatan Kecemasan dan Pesakit Luar Hospital Balik Pulau, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Zaliha meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM200,000 bagi menaik taraf bangunan Jabatan Kecemasan lama hospital berkenaan untuk digunakan sebagai Unit Rehabilitasi dan Klinik Dietatik serta kemudahan lain yang berkaitan.

Pada Ahad lalu media melaporkan, Kementerian Kesihatan (KKM) masih menunggu laporan polis berhubung kematian Dea Maisarah Bada, 10, meninggal dunia yang didakwa akibat kecuaian pihak hospital di Selangor, baru-baru ini.

Zaliha berharap semua pihak bertenang dan siasatan sedang dilakukan untuk mengetahui punca kejadian berlaku. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast