KUALA LUMPUR – Parlimen Pengerang, Johor menjadi ibu angkat kepada dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan dalam usaha membantu memenangkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos ini.
Menurut Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, dua DUN itu ialah Seri Menanti dan Senaling yang dimenangi calon BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Keputusan itu dibuat dalam Program Ukhuwah UMNO Bahagian Pengerang bersama UMNO Bahagian Kuala Pilah hari ini sebagai persiapan kepada PRN Negeri Sembilan 12 Ogos ini.
“UMNO Bahagian Pengerang adalah ibu angkat rasmi kepada DUN Seri Menanti dan Senaling bagi membantu mereka melaksanakan tanggungjawab bagi PRN nanti.
“Sudah tentu, kami akan berkongsi pengalaman ketika PRN Johor awal tahun lalu dalam menggerakkan jentera dan susun atur keanggotaan UMNO bagi memastikan kemenangan kepada calon yang bakal dipilih di kedua-dua kerusi ini,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Dalam PRU14 tahun 2018, kerusi DUN Seri Menanti dimenangi Datuk Adnan Abu Hassan dengan majoriti 972 selepas mengalahkan calon lawannya dengan mendapat 3,456 undi.
Manakala DUN Senaling pula dimenangi Datuk Abd. Samah Ibrahim dengan memperoleh 3,362 undi.
Jelas Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO, dengan keakraban mereka sebagai satu keluarga, beliau yakin dapat bergerak sebagai satu pasukan kukuh bagi mendepani PRN kali ini terutama dalam memastikan maklumat sahih dan tepat disalurkan kepada masyarakat serta mematahkan segala dakyah mahupun propaganda tersebar.
“Semoga ukhuwah serta kesungguhan keluarga kami ini akan menjadi asbab kepada kemenenangan calon-calon di DUN Seri Menanti dan Senaling,” katanya. – MalaysiaGazette