Anthony Loke

PETALING JAYA – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengakui sasaran Kerajaan Perpaduan mempertahankan tiga negeri dan menawan satu negeri lagi bukan sesuatu yang mudah dicapai.

Beliau memberitahu Sinchew Daily, berdasarkan suasana semasa, keadaan yang paling menghampiri realiti adalah masing-masing Kerajaan Perpaduan dan PN memenangi tiga negeri.

Beliau bagaimanapun berpendapat, potensi memenangi negeri keempat adalah mungkin berdasarkan kajian pendapat berlainan.

Jelasnya, matlamat paling asas Kerajaan Perpaduan adalah mempertahankan tiga negeri dan kehilangan salah satu negeri akan memberi tamparan kepada Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan Perpaduan sudah semestinya akan berjuang untuk menang di empat negeri, tetapi ini bukannya mudah.

“Mengambil kira suasana politik di Kedah, Terengganu dan Kelantan,  memang tidak senang untuk menang di negeri keempat,” katanya.

Anthony juga membangkitkan kegagalan kerajaan Pas untuk menyelesaikan masalah rakyat walaupun telah mentadbir selama 30 tahun di Kelantan sehingga parti itu merasakan tekanannya.

“DAP pernah bekerjasama dengan Pas dan Pas akan terus menggunakan isu keagamaan di Kelantan.

“Mereka juga mahu mengadakan perhimpunan besar-besaran seramai 80,000 orang di Kelantan dan ini menunjukkan mereka bimbang dengan orang Kelantan yang sudah muak dengan Pas,” katanya.

Mengenai usaha mempertahankan tiga negeri, Anthony berkata, Kerajaan Perpaduan tidak boleh leka di di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, termasuk di kawasan campuran.

“Untuk Selangor pula, tiada kawasan yang mempunyai 90 peratus pengundi Melayu tetapi terdapat banyak kawasan dengan 60 peratus Melayu.

“Kita boleh mengukuhkan pengaruh supaya 40 peratus pengundi bukan Melayu menyokong Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Menurutnya, hasil di Selangor adalah mustahak bagi memastikan PN tidak mengancam kestabilan Kerajaan Perpaduan untuk beberapa tahun akan datang.

“Walaupun semua kajian pandangan mendapati kami tidak akan kalah di Selangor, tetapi kami tidak boleh memandang rendah musuh dan harus berhati-hati dalam mendepani pilihan raya negeri di Selangor.

“Risiko di Selangor masih ada dan kami tidak boleh menghadapi pilihan raya seakan-akan kemenangan sudah ada di tangan,” katanya. – MalaysiaGazette