Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor ketika diahan polis di sebuah hotel di ibu negara.

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ditahan pukul 3 pagi tadi kerana beliau dan pegawai khasnya telah menolak semua panggilan polis sejak petang semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tangkapan dibuat bagi memastikan Muhammad Sanusi hadir bagi menghadapi pertuduhan di Mahkamah Selayang hari ini.

Menurut beliau, pihaknya telah meminta bantuan daripada Polis Kontinjen Kedah semalam namun pemimpin politik itu tidak dapat dikesan di negeri itu.

“Alasan kita tangkap pukul 3 pagi tadi kerana beliau (Sanusi) menolak semua panggilan telefon untuk kita maklum supaya hadir di Mahkamah Selayang esok (hari ini).

“Kita dimaklumkan beliau akan hadir di Astro Awani pada jam 10 malam tapi hasil pemantauan tidak menunjukkan kelibatnya.

“Kita juga hubungi setiausaha sulit dan setiausaha politiknya tapi semua panggilan ditolak dan akhirnya kita jumpa di Mont Kiara pukul 2.30 pagi sebelum tangkapan dibuat,” katanya pada sidang media hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain

Jelas Razarudin, berdasarkan laporan berita dalam talian, Muhammad Sanusi memberitahu tidak pernah dimaklumkan mengenai pertuduhan hari ini sedangkan polis telah berusaha menghubunginya namun ia tidak diangkat.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan penahanan di bawah Akta Hasutan itu adalah wajar kerana ia mempunyai kecenderungan mendatangkan kebencian kepada institusi diraja.

“Kes ini berkaitan menghina dan membangkitkan kemarahan sebab ia berkaitan dengan Institusi Diraja dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan ini juga boleh mendatangkan kebencian serta ketidaksetiaan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor.

“Ia serius kerana terdapat 58 laporan polis secara keseluruhannya terkait isu itu dan ia termasuk laporan dibuat oleh Ahli Dewan Diraja Selangor, maka tindakan menahan beliau adalah wajar mengikut peruntukan undang-undang,” ujarnya.

Terdahulu, Muhammad Sanusi ditahan sepasukan polis pukul 3 pagi tadi di sebuah hotel di ibu negara selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional di Publika.

Beliau yang didakwa atas dua pertuduhan menghasut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang pagi tadi berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik minggu lepas. – MalaysiaGazette