KUANTAN – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sekali lagi mencatat sejarah tersendiri apabila merangkul Anugerah Green Gown Antarabangsa 2023 bagi kategori Memanfaatkan Masyarakat.
Menurut Rektor UIAM, Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, UIAM satu-satunya universiti di Malaysia menerima pengiktirafan peringkat antarabangsa dan satu-satunya universiti Islam yang bersaing di seluruh dunia.
“Untuk tahun 2023, anugerah ini merupakan pengiktirafan bagi universiti untuk membuat satu perubahan atas kepakaran yang diiktiraf oleh PBB. Walaupun UIAM tidak mengejar dan berlumba kedudukan ranking dengan pengiktirafan ini ia menunjukkan bahawa sistem pembelajaran tidak hanya tertumpu di dalam kelas sahaja.
“Pengiktirafan ini adalah sebagai bukti menunjukkan tanpa mengejar kedudukan ranking, UIAM boleh mendapat pengiktirafan tertinggi di peringkat antarabangsa tanpa melaburkan sebarang kos untuk diiktiraf diperingkat antarabangsa.
“Ia juga selaras dengan usaha UIAM menterjemahkan Rahmatan lil-Alamin iaitu rahmat keseluruh alam dan meletakkan UIAM di antara salah satu universiti yang mempunyai peranan penting dalam merubah dan juga mencari satu pendekatan baru dalam menyelesaikan masalah masyarakat setempat dan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam kategori tersebut, UIAM turut bersaing dan berjaya menewaskan 13 buah universiti yang terdiri dari seluruh dunia antaranya Universiti dari Thailand, Bangladesh, Kanada dan Australia.
UIAM turut menewaskan penyertaan Universiti dari Malaysia seperti Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Management & Science University (MSU).
Bagi kategori Memanfaatkan Masyarakat, UIAM menerima untuk anugerah bagi perlaksanaan projek Trash to treasure – A journey towards becoming a zero-waste community.
Projek tersebut telah memberi impak kepada masyarakat tempatan ke arah kelestarian alam sekitar melalui program pengurusan sisa yang berkesan seperti program kitar semula secara bulanan, derma barangan terpakai, dan mengumpul minyak masak terpakai yang diubah menjadi sabun.
Projek berkenaan menyumbang kepada amalan mengurangkan, mengguna semula, membaiki dan mengitar semula sisa terutama di bandar Kuantan, Pahang.
UIAM juga mendapat pengiktirafan Kepujian bagi kategori yang sama untuk perlaksanaan projek YSM Agroprenuers – Empowerment of youth and single mothers through sustainable agriculture.
“Projek tersebut adalah berkonsepkan komuniti untuk menangani jurang sosio-ekonomi antara ahli masyarakat. Ia memberi peluang kepada belia daripada keluarga B40 dan ibu tunggal untuk memperkasakan diri mereka melalui aktiviti pertanian yang mampan.
“Dengan menyediakan latihan kepada peserta untuk membangunkan kemahiran dalam penanaman sayur-sayuran dan herba organik yang kemudiannya dijual untuk menjana pendapatan,” katanya.
Untuk rekod, UIAM menerima anugerah utama Green Gown untuk kategori Institusi Lestari Terbaik pada tahun 2020.
Anugerah Green Gown diberikan kepada universiti dari seluruh dunia sebagai pengiktirafan atas usaha yang dijalankan dalam membangunkan kelestarian didalam negara sendiri dan yang memberikan impak kesejahteraan untuk komuniti setempat.
Anugerah tersebut mendapat sokongan dari United Nation (UN) Environment, International Association of Universities (IAU) dan The Association of Commonwealth Universities (ACU).
Ia juga adalah pengiktirafan yang diberikan kepada institusi pengajian tinggi dari seluruh dunia yang menjalankan usaha kelestarian bagi mencapai objektif kelestarian global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – MalaysiaGazette