PUTRAJAYA – Kegiatan seorang lelaki warga Myanmar yang bergerak solo mengaut keuntungan sekitar RM360,000 setahun dengan menyediakan perkhidmatan pemalsuan dokumen akhirnya terbongkar.

Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, suspek dikenali sebagai Ayake, 30, ditahan dalam Ops Khas yang dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Imigresen Putrajaya pada 3.30 petang 13 Julai lalu di ibu negara.

“Hasil risikan selama dua tahun, kami telah berjaya menahan suspek ketika dalam perjalanan untuk menyerahkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu kepada pelanggan di Dataran Merdeka.

“Pemeriksaan di dalam kenderaan yang dipandu Ayake, Imigresen menemui dua pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu, dua  naskah pasport Myanmar palsu dan wang tunai sebanyak RM26,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Imigresen, di sini hari ini.

Ruslin berkata, pasukan operasi kemudian dibawa ke sebuah premis kediaman di Sentul, Kuala Lumpur dipercayai rumah sewa suspek pendatang asing tanpa izin (PATI) itu.

Menurut Ruslin, hasil penggeledahan di lokasi terbabit pihaknya merampas satu set komputer yang disyaki digunakan untuk menjalankan kegiatan haram.

Antara rampasan Imigresen hasil penggeledahan di rumah penyedia perkhidmatan dokumen palsu, Ayake, di Sentul, Kuala Lumpur.

“Imigresen juga menemui 26 keping Kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) palsu, dua keping Kad CIDB palsu, tiga keping PLKS palsu dan lapan naskah paspot Myanmar palsu.

“Turut ditemui sekeping Kad Lesen Memandu Myanmar palsu dan wang tunai sebanyak RM1,500 dipercayai hasil kegiatan itu,” katanya.

Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh menunjukkan ‘template’ PLKS yang digunakan Ayake bagi tujuan pemalsuan dokumen.

Mengulas lanjut, Ruslin berkata, modus operandi yang digunakan Ayake adalah mengiklankan perkhidmatannya menerusi aplikasi WhatsApp yang menyasarkan warga Myanmar dan Bangladesh di Lembah Klang sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Antara perkhidmatan dokumen palsu yang disediakan seperti Pasport Myanmar (RM1,000), PLKS (RM700), dan Kad UNHCR, Kad CIDB, Kad Lesen Memandu Myanmar, Kad Perakuan Nikah Rohingya masing-masing RM200.

Ruslin berkata, suspek ditahan selama 14 hari bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 dan  Seskyen 12 (1)(f) Akta Pasport 1966 di Depot Imigresen Putrajaya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast