Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah RiÕayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Anugerah Tokoh Kebangsaan Maal Hijrah kepada bekas Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof Datuk Dr Abdul Monir Yaacob (dua, kanan) pada Majlis Sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 19 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Mantan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Dr. Abdul Monir Jaafar dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah peringkat kebangsaan tahun ini.

Manakala Mufti Besar India, Sheikh Abu Bakr Ahmad dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 2023 peringkat antarabangsa oleh kerajaan Malaysia.

Kedua mereka menerima anugerah itu daripada Yang di-Pertuan Agong sempena Sambutan Maal Hijrah 2023/1445H di sini, hari ini.

Dr. Abdul Monir, 77, anak kelahiran Mengkarak, Bera, Pahang mula berkhidmat di IKIM sebagai Felo Kanan pada 1993, sebelum dinaikkan pangkat Penolong Ketua Pengarah pada 1997 dan menjawat jawatan Ketua Pengarah pada 2002 hingga 2005.

Selepas bersara dari IKIM, beliau dinobatkan sebagai Profesor di Jabatan Syariah dan Undang-Undang Universiti Malaya (UM) pada 2006 dan Penasihat Akademik, Universiti Islam Sultan Shah Ali, Brunei Darussalam dari 2007 hingga 2009.

Kemudian Dr. Abdul Monir dilantik sebagai Felow di Akademik Pengajian Islam tahun 2009, Ketua Pengurusan Majlis Universiti Islam Malaysia (2011-2013), Profesor Universiti Islam Malaysia (UIM) (2013-2018) dan Naib Presiden UIM ( 2014-2018).

Sumbangan beliau ialah penjelasan mengenai hukum hudud di TV1 atas permintaan Menteri Penerangan (1996), selain membentangkan kertas kerja bagi pihak Prof. Tan Sri Ahmad Ibrahim di Universiti Harvard (1997).

Dr. Abdul Monir turut mengadap dan menyembah maklum bagi pihak Suhakam ke sisi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong X11 Tuan Syed Sirajudin Ibnu Almarhum Syed Putra Jamalullail berhubung keadaan banduan Islam yang menghadapi masalah menunaikan solat kerana mereka hanya dibenarkan memakai t-shirt putih dan seluar pendek yang tidak menutup aurat.

Ketika dilantik sebagai Pengerusi Kawatankuasa Keutuhan di Jabatan Perdana Menteri, beliau telah menemui Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Omar mencadangkan supaya pegawai polis wanita digalakkan memakai tudung (2002).

Yang di-Pertuan Agong berkenan mengurniakan Anugerah Tokoh Antarabangsa Maal Hijrah Mufti Besar India Sheikh Abu Bakar Ahmad Al-Malibari pada Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 19 JULAI 2023.

Sementara itu, Sheikh Abu Bakr, 92, merupakan anak kelahiran Kerala, India yang turut memegang jawatan Setiausaha Agung India Sunni Jamiyyatul Ulama iaitu sebuah pertubuhan ulama Islam India.

Antara sumbangan beliau dalam syiar Islam ialah mengasaskan Jamia Markaz atau Markazu Saquafathi Sunniyya pada 1978, yang memberi perkhidmatan pendidikan dan kemanusiaan.

Jamia Markaz mempunyai lebih 130 institusi dalam pelbagai cabang ilmu dalam dan luar India, selain merupakan pusat akademik terbesar di Asia.

Beliau juga turut memperkenalkan sistem universiti terbuka yang mempunyai kurikulum unik.

Antara jawatan peringkat antarabangsa yang dipegang Sheikh Abu Bakr ialah ahli Institusi Pemikiran Islam Aal al-Bayt Diraja, Jordan; Ahli Pihak Berkuasa Am Majlis fatwa Seluruh Dunia, Mesir; Ahli Muslim Elders Council UAE; dan Ahli The World Muslim Communities Council, UAE.

Beliau pakar dalam bidang ilmu al-Quran dan Hadis terutama Kitab Sahih Bukhari, Sains Spritual, Sejarah Islam dan Perundangan Islam.

Sheikh Abu Bakr telah mengarang dan menerbitkan lebih 45 buku mengenai pelbagai topik dalam bahasa Arab, Urdu, Inggeris dan bahasa Malayalam serta memiliki warisan teks ulasan Sahih Al0Bukhari. – MalaysiaGazette