Kesan sungai selepas berlaku kejadian kepala air.

Oleh: Amirul Salam Hasan

‘SELF-HEALING’ atau penyembuhan diri merupakan suatu gaya hidup baharu yang kian popular dalam kalangan masyarakat Malaysia. Kesibukan rutin harian dengan mernempuh kesesakan jalan raya, urusan pejabat, menguruskan persekolahan anak, memastikan keperluan keluarga dipenuhi setiap hari menjadikan badan kelesuan.

Adalah penting bagi setiap orang untuk menguruskan emosi dengan baik seperti mengurangkan tekanan, ketegangan, ketakutan, minda negatif dan lain-lain. Ia juga sebagai langkah terbaik dalam memastikan kesihatan minda berada pada tahap optimum.

Pelbagai kaedah yang sering menjadi pilihan masyarakat untuk merawat diri dengan cara tersendiri. Antaranya beriadah di tepi pantai, ‘me time’ di café, berkelah di tepi tasik,
melakukan senaman serta aktiviti yang mampu mengembalikan kesegaran minda dan badan.

Namun, bagi yang sukakan aktiviti outdoor terutamanya di sungai atau air terjun, aspek keselamatan antara perkara yang harus dipertimbangkan terlebih dahulu sebelum sebarang aktiviti dimulakan.

Baru-baru ini tular di portal berita dan juga media sosial berkaitan 10 sekeluarga menjadi mangsa tragedi kepala air di Sungai Teladas, Kemaman disyaki untuk melakukan riadah di
kawasan perkelahan tersebut. Peristiwa seperti itu sering berlaku di kawasan berhampiran sungai dan air terjun terutamanya apabila berlaku hujan lebat.

Akhir-akhir ini negara mengalami ketidaktentuan cuaca dan berlaku perubahan iklim. Keadaan cuaca panas dan suhu yang tinggi menyebabkan Malaysia menerima taburan hujan yang tinggi dan secara tidak langsung menyebabkan kawasan air terjun dan sungai berisiko untuk berlakunya fenomena kepala air.

Kepala air terjadi apabila pengumpulan air yang banyak dalam tanah menyebabkan lapisan tanah menjadi tepu dan ikatan dalam tanah menjadi semakin longgar yang akhirnya berlaku runtuhan. Pokok, tanah, batu, lumpur dan lain-lain yang dibawa air dari tempat tinggi ke tempat rendah secara serentak mengakibatkan kerosakan yang teruk dan membahayakan sesiapa sahaja yang berada di kawasan berdekatan laluan kepala air tersebut.

Secara asasnya, beberapa tanda-tanda awal boleh dikesan sebelum berlakunya fenomena kepala air. Antara faktor mudah yang boleh dipertimbangkan seperti perubahan warna air
daripada cerah kepada gelap, aliran sungai yang semakin deras secara tiba-tiba, sampah-sarap yang bertambah secara drastik berkumpul di beberapa tempat dan juga bunyi yang
kuat.

Rekod mencatatkan bahawa kepala air boleh mencecah paras ketinggian sehingga dua meter dan ia berlaku dalam tempoh kira-kira 10 minit.

Bagi pengunjung yang berhasrat melakukan aktiviti di kawasan berdekatan sungai atau air terjun, adalah dinasihatkan agar lebih berwaspada dan sentiasa peka akan perubahan-
perubahan yang berlaku di kawasan sekeliling. Pastikan langkah-langkah keselamatan diberi perhatian selain merencanakan pelan keselamatan jika berdepan dengan situasi sukar.

Persediaan awal amat penting dalam memastikan aktiviti riadah atau self-healing dapat dilaksanakan sepertimana yang dirancang dan akhirnya mengembalikan kesegaran minda
dan emosi. ‘Gagal merancang, merancang untuk gagal’

Penulis dari Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu