Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Industri minyak sawit Malaysia adalah antara sektor yang akan menerima manfaat daripada penyertaan United Kingdom (UK) dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), kata penganalisis.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata, Malaysia berjaya memohon Britain mengurangkan tarif minyak sawitnya – yang ketika ini antara 12 peratus sehingga sifar – sebaik sahaja menyertai pakatan ini yang sewajarnya mendorong lebih banyak eksport ke UK.

Perdagangan dua hala antara kedua-dua negara melebihi US$7.3 bilion (RM33.4 bilion) pada 2022 dengan UK mencatatkan lebihan dagangan kira-kira US$786 juta (RM3.5 bilion).

Lembaga Minyak Sawit Malaysia menjangkakan eksport minyak sawit akan meningkat sebanyak 3.7 peratus kepada 16.3 juta tan pada 2023 berikutan permintaan yang berterusan daripada negara-negara pengimport.

“Komoditi seperti getah (akan menerima manfaat daripada penyertaan UK) dan barangkali peningkatan bagi makanan segar boleh dimakan,” kata Innes kepada Bernama sambil memaklumkan UK sedang bergelut dengan pasca Brexit.

“UK bukanlah negara mampu diri dari segi pengeluaran makanan. Negara itu mengimport 48 peratus daripada jumlah makanan yang digunakan dan perkadaran ini meningkat. Oleh itu, sebagai negara perdagangan makanan, UK bergantung kepada import,” kata Innes.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula menyifatkan hubungan Malaysia-UK adalah menyenangkan dari segi pelaburan.

Projek Battersea Power Station adalah contoh bagaimana kedua-dua negara ini saling membantu dan melengkapi untuk mencipta nilai.

“Banyak rakyat Malaysia yang menerima pendidikan tinggi di UK. Sehubungan itu, CPTPP perlu membantu mempromosikan perdagangan dan pelaburan dua hala berikutan kos menjalankan perniagaan akan menjadi lebih efektif selepas penyertaan UK dalam pakatan itu,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata, UK perlu lebih mesra ekonomi dengan negara-negara lain di seluruh dunia kerana ia “bersendirian” berikutan perlu mengakses bahan mentah dan buruh untuk pengeluaran selain pasaran asing.

“CPTPP menawarkan pendedahan lebih luas kepada ekonomi global dan ia berpotensi melibatkan China yang turut dalam usaha untuk menjadi sebahagian daripada pakatan itu.

“Walaupun kita masih belum pasti bagaimana China akan diterima berikutan perselisihan sedia ada dengan beberapa negara anggota, aspirasi UK untuk menjadi sebahagian daripada kumpulan itu adalah munasabah dari segi ekonomi,” kata Mohd Afzanizam.

UK adalah negara Eropah pertama yang menganggotai blok itu sejak diwujudkan pada 2018. Pakatan itu terdiri daripada negara-negara anggota G7 seperti Kanada dan Jepun, sekutu UK sejak sekian lama seperti Australia dan New Zealand, selain Brunei, Chile, Malaysia, Mexico, Peru, Singapura dan Vietnam.

Mengulas aspek ini, Innes pula mempersoalkan sejauh mana keadaan ini akan memberikan manfaat kepada pertumbuhan ekonomi UK.

“UK adalah ekonomi perkhidmatan yang besar dan sektor itu mungkin memiliki beberapa manfaat eksport. Bagaimanapun, saya berpandangan ia selari dengan sokongan rantaian bekalan UK yang boleh membawa kepada beberapa manfaat terhadap kos import domestik,” kata Innes.

Ditanya sama ada penyertaan UK akan menjadi benteng kepada dominasi China di rantau ini, beliau berkata negara-negara Barat sedang berusaha untuk mengelakkan bekalan barangan China.

“Jawapan ringkasnya barangkali tidak secepat ini. Tetapi, itu tidak mungkin menghalang mereka daripada menyesuaikan semula sebahagian besar daripada ekonomi global,” kata Innes. – BERNAMA