KUALA LUMPUR – Umat Islam dan rakyat Malaysia secara amnya diseru supaya menjadikan sambutan Maal Hijrah sebagai momentum dalam menghidupkan semangat perpaduan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sambutan tahun baharu kalendar Islam itu juga perlu dijadikan sebagai medan membangunkan komuniti harmoni, saling mendukung antara satu sama lain, memupuk rasa persaudaraan dan bekerjasama dalam membina sebuah negara bangsa yang berjaya.
Beliau turut mengajak umat Islam bermuhasabah serta memperbaharui azam dan iltizam untuk meletakkan diri sebagai insan muttaqin.
“Ambillah ibrah peristiwa hijrah baginda Nabi Muhammad SAW untuk kita memperbaiki diri ke arah yang lebih baik dan melakar masa depan yang lebih cemerlang.
“Marilah kita berdoa agar Malaysia sentiasa dilindungi rahmat Allah SWT, beroleh keberkahan dan menjadi negara ‘baldatun toyyibah warabbun ghafur’,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2023/1445 berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pagi ini.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis itu. – MalaysiaGazette