Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Kes rasuah membabitkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berlaku semasa beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan selepas Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri ketujuh.

Oleh itu, Datuk Dr Puad Zakarshi berkata, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sepatutnya jangan menggunakan istilah ‘pendakwaan politik’.

Ini kerana, beliau juga sudah masuk dalam Kluster Mahkamah.

Puad berkata demikian bagi mengulas kenyataan Syed Saddiq yang membidas kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa tidak ada seorang pun menteri di dalam Kabinet yang dipimpin perdana menteri terpalit dengan rasuah dan mendapat pengiktirafan bahawa semuanya bersih adalah satu kenyataan membimbangkan serta bahaya.

Menurutnya, mungkin Syed Saddiq cuba kaitkan kes melibatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Namun, kata Puad, Syed Saddiq kena ingat kes timbalan perdana menteri itu adalah pendakwaan politik dan terpilih oleh Tun M masa jadi perdana menteri ketujuh.

Baru-baru ini Syed Saddiq mendakwa kenyataan itu memberi persepsi salah, terutamanya ketika beberapa institusi berada di bawah kawal selia Perdana Menteri termasuk Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Malah Perdana Menteri ini juga melantik Peguam Negara serta Ketua Pesuruhjaya SPRM yang secara tidak langsung menampakkan ia mengawal selia badan berkenaan, seterusnya dapat memastikan kes yang sedang berjalan boleh digugurkan.

“Sebagai Presiden MUDA, saya tak lihat kenyataan itu sebagai satu perkara yang kecil, bahkan banyak rakyat adukan, adakah selepas PRN ini kes rasuah skala besar akan digugurkan,” ujarnya.

Sebelum ini, Anwar ketika Pelancaran Jentera Perpaduan Negeri Pulau Pinang memaklumkan menteri yang dilantik di bawah Kerajaan Perpaduan kekal bersih dan bebas daripada rasuah.

Katanya, sejak lapan bulan menerajui kerajaan beliau turut mengarahkan SPRM untuk memeriksa semua menteri dan tiada satu pun ada kes rasuah membabitkan Kabinetnya.

Dalam pada itu, Puad mengucapkan tahniah kepada MUDA kerana bertanding solo dalam pilihan raya negeri tidak lama lagi.

“Memang gentleman. Daripada dituduh melukut di tepi gantang, elok tanding sendiri,” tambah Puad. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast