Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Umat Islam perlu menjadikan peristiwa hijrah sebagai iktibar kepada semua pihak bahawa asas kepada perpaduan ummah adalah kesatuan umat yang kuat dan jitu.

Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar berkata, umat yang menjiwai makna kesatuan akan sentiasa terbuka minda, berlapang dada serta saling melengkapi dan menghormati antara satu sama lain.

“Sungguh pun hijrah seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW tidak berlaku lagi pada zaman ini, namun konsep penghijrahan tetap relevan untuk diterjemahkan dalam kehidupan.

“Oleh itu, umat Islam diseru untuk melakukan perubahan kepada keadaan yang lebih baik bagi mencapai kecemerlangan dunia dan akhirat,” katanya berucap pada Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445 Hijrah, di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Tambah beliau, umat Islam perlu menguasai pelbagai disipilin ilmu untuk meneroka kejayaan dalam lapangan kehidupan.

“Sesungguhnya dengan ketabahan, kecekalan jua pengorbanan, umat Islam mampu untuk memberikan sumbangan bermakna bagi menjayakan agenda Membangun Malaysia Madani,” katanya.

Katanya lagi, bagi mendepani ledakan teknologi maklumat yang semakin mencabar pada hari ini, umat Islam harus bijak dan peka.

“Umat Islam harus memanfaatkannya ke arah kebaikan, bukan cenderung kepada perkara-perkara negatif seperti mengadu domba dan menyebarkan fitnah yang membawa kepada perpecahan.

“Sekiranya perkara ini berterusan, umat Islam akan terus berada dalam keadaan
lemah.

“Oleh yang demikian, semangat hijrah seharusnya mengajak umat Islam merapatkan kesatuan hati dan pemikiran untuk membina jati diri yang mantap,” katanya lagi. – MalaysiaGazette