KUALA LUMPUR – Pemimpin seperti Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Noor tidak layak diangkat sebagai ikon kepada Pas kerana sikap dan kepimpinannya jauh berbeza dengan bekas Mursyidul Am, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata, perangai kebudak-budakan Menteri Besar Kedah itu jika diangkat sebagai ikon boleh menjatuhkan imej dan maruah Pas.
“Kalau banding Pas dahulu dengan sekarang, memang jauhlah bezanya. Pas dahulu ikon kepimpinannya adalah Allahyarham Nik Abdul Aziz, seorang ulamak yang lemah lembut, berakhlak mulia, berilmu, menghormati rakan dan taulan, malah lawanpun dihormatinya.
“Beliau juga seorang menteri besar yang dapat kekalkan sokongan kerana rakyat nampak keikhlasan, kejujuran, akhlak mulia serta berusaha memanfaatkan golongan profesional untuk membangunkan kerajaan Kelantan. Itu cara Nik Abdul Aziz.
“Sekarang ini Pas sudah berubah sebab ikon kepimpinannya adalah orang macam Sanusi yang dianggap hero dan panglima perang, sedangkan macam-macam dibuatnya tidak betul. Salah satu yang jelas ialah yang dia fitnah Datuk Mahfuz Omar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Bicara Khalid Samad bertajuk, Sanusi – Kepimpinan Berkualiti Pas?, malam tadi.
Khalid menjelaskan, cara kepimpinan Allahyarham Nik Abdul Aziz menjadi aspirasi kepada semua ahli Pas kerana berjaya mempertingkatkan ilmu, memperbaiki akhlak dan membentuk gerakan yang berdisiplin di kalangan ummah.
“Orang yang seperti Nik Abdul Aziz menjadi ikon Pas yang menyebabkan saya dan rakan menyertainya, selain ulamak Allahyarham Yusof Rawa dan Allahyarham Fadzil Noor.
“Ikon kepimpinan adalah mencerminkan perjuangan parti itu. Bila kita letak Nik Abdul Aziz sebagai ikon kepimpinan, beliau menguruskan kewangan negeri dengan baik sekali walaupun ketika itu Kelantan tidak dapat banyak peruntukan daripada kerajaan persekutuan,” katanya.
Mengulas kes terbaharu yang dihadapi Muhammad Sanusi, bekas Ahli Parlimen Shah Alam itu menjelaskan, kenyataan yang dikeluarkan Menteri Besar Kedah itu tidak wajar sama sekali.
“Dalam kes terbaharu ini sangat jelas dia mengeluarkan kata-kata yang tidak sewajarnya dikeluarkan oleh seorang menteri besar.
“Buat perbandingan Sultan Selangor dengan Sultan Kedah, seolah Sultan Selangor tidak bijak lantik orang (Datuk Seri Amirudin Shari) yang tak cukup inci. Saya dengar cakap dia pun macam budak-budak.
“Takkanlah menteri besar macam ini? Kalau kamu gurka dan keluarkan kenyataan macam itu tak apalah, ini menteri besar dan pula menjadi ikon kepada Pas,” katanya.
Kata Khalid lagi, kalau seperti itulah kepimpinan yang dikatakan berkualiti dalam Pas, memang hancurlah negara dan akan rosaklah politik orang Melayu serta Islam khususnya.
Ini kerana Pas tidak mengambil kira sifat kepimpinan yang diutamakan oleh Islam sebagaimana ditunjukkan oleh Allahyarham Nik Abdul Aziz.
Beliau juga menyifatkan laporan polis yang dibuat Ahli Dewan di-Raja Selangor terhadap Muhammad Sanusi sebagai wajar kerana kenyataan itu sangat melampau dan biadab. – MalaysiaGazette
bengap ke bangang Khalid Samad ni… diakui Allahyarham TGNA merupakan iKon KENTAL PAS..
MB KEDAH Sanusi adalah iKon kebangkitan era baru ANAK MUDA.. ini tidak menjatuhkan imej PAS. yang PASTI jatuh adalah DAP PKR PAN dan UMNO.. itu PASTI berlaku.. tersungkur terkembam..
Rafizi dan Lokman pernah berkata orang luar party tidak layak menilai pemimpin party lain.. Khalid Samad tidak reti BAHASA ke..