Tiga indvidu dipercayai warga Myanmar ditemui maut di kawasan rehat dan rawat Yong Peng.

YONG PENG – Dua lelaki dan seorang wanita ditemui orang awam tidak sedarkan diri di dalam sebuah kereta di hentian rawat dan rehat (R&R) Yong Peng, Lebuhraya Utara Selatan, malam tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pagoh, Pegawai Bomba Kanan II Suhairulair Sarip berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pada jam 8.59 malam dan seramai enam anggota bersama satu jentera digegaskan ke lokasi kejadian.

Menurut laporan awal pihak bomba, orang awam yang tiba di lokasi kejadian mendapati tiga mangsa terperangkap di dalam sebuah kereta sebelum bertindak memecahkan cermin kereta berkenaan.

Mereka yang melalui kawasan itu cuba menyelamatkan mangsa sebelum pihak bomba tiba di lokasi.

Mangsa telah dikeluarkan orang awam dan disahkan telah meninggal dunia.

Ketiga-tiga mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Difahamkan, magsa terlibat merupakan dua lelaki berusia 23 dan 25 tahun, manakala seorang lagi mangsa perempuan berumur 27 tahun.

Operasi tamat pukul 10.22 minit malam.-MalaysiaGazette