hutang kerajaan
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Seperti dijanjikan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengemukakan sebahagian dokumen yang ditandatanganinya bagi penghapusan hutang peneroka FELDA sebanyak RM990 juta.

Dalam kenyataan ringkas kepada media, beliau turut mendesak mantan Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memohon maaf atas fitnah yang dilemparkan kepadanya.

Semalam, Anwar berjanji akan mengemukakan dokumen itu selepas menghubungi Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican bagi menyerahkan bukti tersebut sebelum berlepas ke Vietnam untuk lawatan rasmi dua hari ke negara itu.

Anwar menunaikan janjinya untuk mengemukakan dokumen yang telah ditandatanganinya itu sebelum jam 12 tengah hari ini sebagai menyahut cabaran Muhyiddin.

“Kalau saya tunjuk bukti, saya hendak mereka minta maaf secara terbuka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan maal Hijrah 1445 Hijrah Perpaduan Tanjong Karang, semalam.

Antara dokumen penghapusan hutang peneroka FELDA yang ditandatangani Anwar

Sehari sebelum itu, Muhyiddin menuntut Anwar selaku Menteri Kewangan mengemukakan bukti telah menandatangani surat atau dokumen bagi meluluskan pelupusan hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion.

Ini selepas Anwar mendakwa pelupusan hutang itu gagal dilaksanakan sewaktu Muhyiddin menjadi perdana menteri.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) turut menuntut Anwar menarik balik kesemua kenyataan fitnah tersebut dalam tempoh 24 jam, selain memohon maaf tanpa syarat dan secara terbuka.

Ia sebahagian daripada tuntutan yang dikemukakan peguam Muhyiddin dalam surat tuntutan bertarikh semalam, yang turut memberi tempoh 24 jam kepada Anwar untuk mendedahkan dokumen atau surat yang ditandatanganinya bagi melupuskan hutang peneroka.

Sementara itu, Kementerian Kewangan mengesahkan perjanjian Assignment for Financial Service Reserve Account (FSRA) telah ditandatangani oleh Anwar pada 26 Jun 2023.

“Seperti diumumkan melalui siaran akhbar MOF bertarikh 28 Jun 2023, perjanjian ini melibatkan Jaminan Kerajaan sebanyak RM9.9 bilion kepada FELDA untuk menstruktur semula pinjaman agensi tersebut melalui terbitan sukuk dan kredit pusingan dalam usaha memulihkan kedudukan kewangan agensi itu.

“Di bawah perjanjian, kerajaan akan membiayai pembayaran balik sukuk tersebut melalui peruntukan geran RM990 juta setiap tahun untuk tempoh 10 tahun,” kata kenyataan itu, hari ini.

Sehubungan itu, MOF juga ingin mengesahkan penyaluran pertama RM990 juta telah dilaksanakan pada 18 Julai lalu selaras dengan peruntukan yang telah disediakan di dalam Belanjawan Madani 2023.

Penyempurnaan perjanjian jaminan kerajaan dan penyaluran peruntukan kepada FELDA merupakan elemen penting yang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kelangsungan agensi berkenaan antara lain mengambil kira antaranya impak kepada aliran tunai dan kedudukan kewangan FELDA berikutan penghapusan hutang peneroka. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.