Travis King. foto Twitter

NEW YORK – Travis King, askar Amerika Syarikat (AS) yang melarikan diri ke Korea Utara pernah ditahan kerana terlibat dalam pergaduhan di Korea Selatan.

Dokumen mahkamah menunjukkan dia juga merosakkan kereta polis menyebabkan dia ditahan di penjara Seoul.

Baru-baru ini, anggota tentera berusia 23 tahun itu dibebaskan dan dihantar pulang ke AS.

Dia tiba di Seoul untuk menyertai lawatan ke Kawasan Keselamatan Bersama.

Setakat ini tidak jelas mengapa Travis mahu menyeberangi sempadan namun pihak berkuasa AS berkata dia berbuat demikian “dengan sengaja, atas kehendaknya sendiri”.

Ibunya, Claudine Gates memberitahu ABC News dia tidak dapat membayangkan mengapa anaknya melakukan perkara sedemikian.

“Dia seperti hilang akal,” ujarnya.

Gates berkata, kali terakhir bercakap dengan anaknya beberapa hari lalu apabila Travis memberitahunya akan kembali ke Fort Bliss, pangkalan tenteranya di Texas tidak lama lagi.

Travis dilaporkan berdepan dengan masalah disiplin di Korea Selatan pada September 2022.

Menurut media tempatan, dia disyaki menumbuk warga Korea di sebuah kelab malam di Seoul.

Dia didenda 5 juta won (AS$3,950) kerana “menendang berulang kali” pintu belakang kereta polis dan menjerit “bahasa kasar” terhadap pihak berkuasa yang cuba menangkapnya.

Travis kemudian dibebaskan pada 10 Julai selepas menjalani hukuman penjara dua bulan atas tuduhan melakukan serangan, menurut laporan media tempatan.

Selepas dibebaskan, dia diletakkan di bawah pemerhatian tentera selama kira-kira seminggu di Korea Selatan.

Dia kemudian diiringi ke lapangan terbang di Incheon, dekat Seoul, untuk penerbangan pulang ke Amerika Syarikat, yang mana dia akan menghadapi tindakan tatatertib.

Tetapi dia tidak menaiki pesawat.

Akhbar Korea Times, memetik seorang pegawai lapangan terbang, berkata, dia tiba di pintu masuk bersendirian kerana polis tentera tidak dibenarkan menemaninya sehingga ke pesawat.

Di pintu pelepasan pesawat, dia dilaporkan mendekati seorang kakitangan American Airlines dan mendakwa pasportnya hilang.

Seorang pekerja syarikat penerbangan kemudian mengiringinya keluar dari kawasan berlepas.

Selepas berpisah dengan pengiringnya, dia dilaporkan telah meninggalkan terminal untuk memulakan lawatan ke Zon Penampan atau DMZ, sempadan antara Korea Utara dan Korea Selatan, yang mana warga asing boleh melawat melalui syarikat pelancongan.

Tidak jelas bagaimana Travis berjaya menyertai salah satu lawatan ini kerana lazimnya ia mengambil masa antara tiga hari dan seminggu untuk seseorang individu dibenarkan melakukan lawatan tersebut kerana perjalanan biasanya dipantau dengan teliti.

Seorang saksi dalam lawatan sempadan yang sama berkata dia mendengar askar itu ketawa kuat sebelum berlari melintasi sempadan.

Komando Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang mengendalikan DMZ berkata, dia percaya askar itu kini berada dalam tahanan Utara.

Seorang komander kanan AS berkata, tidak ada hubungan daripada askar itu dan kejadian itu sedang disiasat oleh Pasukan AS Korea. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast