Azam Baki.

KUALA TERENGGANU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka dua kertas siasatan berhubung salah guna kuasa kes penjualan tanah kerajaan Terengganu sebelum tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) ditetapkan.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, beliau tidak tahu bila kes tersebut akan selesai.

”SPRM sedang melakukan dua kes berhubung tanah dijual yang diadukan mengatakan ada salah guna kuasa, pertama tanah yang dijual berhubung badan kebajikan ke persatuan isteri Exco, yang itu masih dalam siasatan.

“Kedua jual kepada Exco kemudian jual kepada badan lain lagi. Kedua-duanya kita ada buka kertas siasatan. Kita masih jalankan siasatan. Jadi jangan paksa kami siap (kertas siasatan) sebelum PRN pula, siasatan kita jalan cara adil, belum siap lagi apapun,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan sebidang tanah di kawasan bandar seluas 11,299 meter persegi di Batas Baru bernilai RM29.3 juta dijual kepada Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa’) pada harga RM500,000.

Menurut Azam, pihaknya telah merekodkan keterangan daripada beberapa pihak namun beliau tidak pasti sama ada keterangan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah diambil.

Sementara itu, Azam memberitahu, Bilik Gerakan SPRM akan dibuka negeri-negeri yang terbabit dengan PRN untuk menerima maklumat dan memberi arahan kepada pegawai suruhanjaya itu.

Menurutnya, kini masyarakat lebih peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang membabitkan salah laku calon yang bertanding. – MalaysiaGazette