Jenama jam Swatch saman kerajaan dan KDN.

KUALA LUMPUR – Permohonan semakan kehakiman oleh syarikat jenama jam tangan antarabangsa, Swatch yang sepatutnya didengar hari ini di Mahkamah Tinggi di sini ditangguhkan pada 23 Ogos depan.

Ini kerana Swatch telah memohon untuk membuat beberapa pindaan dalam semakan kehakiman yang mencabar kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana  merampas 172 jam tangan termasuk siri ‘Pride Collection’.

Difahamkan, prosiding tersebut akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh secara dalam kamar.

Swatch menerusi Tetuan Nizam Bashir & Associates memfailkan permohonan terbabit dengan menamakan Ketua Setiausaha KDN Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan KDN, Menteri KDN dan kerajaan selaku responden pertama hingga keempat pada 24 Jun lepas.

Swatch mendakwa penyitaan itu tidak sah kerana jam tangan bukan dikategorikan sebagai sebuah penerbitan yang boleh dilarang dalam Akta Mesin Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984.

Kata Swatch, istilah penerbitan merujuk kepada untuk dokumen, surat khabar, buku atau sebarang bahan dalam bentuk bercetak berdasarkan akta itu.

Tindakan responden dakwa Swatch, dilakukan atas motif politik yang tidak wajar, mengambil kira Pilihan rRya Dewan Undangan Negeri akan datang di beberapa negeri penting.

Malah, menteri didakwa mencari pengiktirafan Islam bagi tujuan politik.

Pemohon mendakwa jam tangan yang disita tidak mempromosikan apa-apa gejala seksual, namun hanyalah ekspresi menyeronokkan mengenai keamanan dan cinta, reka bentuk 2023 itu adalah satu daripada enam warna pelangi dan hanya kelihatan di sebahagian kecil gelung jam berkenaan.

Pemohon menuntut satu perintah certiorari dan mandamus untuk membatalkan notis penyitaan dan mengembalikan jam tangan berkenaan serta ganti rugi yang dianggarkan RM64,795.

Sebelum ini, penguatkuasa KDN dilaporkan menyerbu 11 butik jam tangan jenama Swatch di beberapa negeri dan merampas koleksi bertemakan pelangi, yang sering dikaitkan dengan komuniti LGBT.

Serbuan selama dua hari pada 13 dan 14 Mei lepas dilakukan terhadap butik Swatch yang terletak di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur, One Utama, Sunway Pyramid, Setia City Mall, Mid Valley Megamall, Southkey, Sunway Putra Mall, Sogo KL, Queensbay, Fahrenheit 88 dan Suria Sabah.

Lima lagi butik telah diberi amaran iaitu di Kuala Terengganu City Centre, AEON Kota Bharu, Aman Central Kedah, City Square dan Viva City Kuching.

Berdasarkan saman yang dikeluarkan oleh Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN itu, penjualan koleksi jam pelangi terbabit didakwa melanggar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Swatch, Nick Hayek Jr, memaklumkan terkejut dan kecewa dengan rampasan yang dilakukan itu memandangkan jenama itu sentiasa menyokong kepelbagaian dan inovasi yang ditonjolkan.

“Dalam hal ini, timbul tanda tanya adakah Bahagian Penguatkuasa dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri akan ‘merampas’ pelangi yang muncul secara semula jadi yang terdapat di langit,” katanya.

Nick menegaskan, sejak dahulu lagi jenama jam itu dikenali dengan kepelbagaian warna dan rekaan yang bertujuan meraikan kepelbagaian individu daripada pelbagai lapisan masyarakat. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast