Dr. Zaliha Mustafa

PUTRAJAYA – Enam Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu yang akan berlangsung pada 12 Ogos ini masih mengekalkan garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) kesihatan berkaitan Covid-19 sedia ada.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, bagaimanapun pihaknya akan meneliti dan berbincang dengan pihak berkaitan termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sekiranya terdapat keperluan untuk melaksanakan langkah lain.

“Setakat ini kalau kita ikut kepada trend kes yang diterima, kita ambil maklum dan SOP yang kita lakukan ialah apa yang sedia ada.

“Namun bagi PRN, kita juga akan membincangkan jika ada atau jika perlu melakukan langkah lebih berbeza daripada SOP biasa selain akan berbincang dengan SPR, MKN dan agensi lain kalau perlu kepada prosedur yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di kementeriannya di sini hari ini.

Sementara itu, Zaliha memberitahu KKM menyerahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi tindakan selanjutnya berikutan tiga badan bukan kerajaan (NGO) mengemukakan permohonan kebenaran semakan kehakiman mencabar keputusan Menteri Kesihatan mengeluarkan nikotin daripada senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952.

Menurutnya, beliau tidak boleh mengulas lanjut isu berkenaan kerana telah menjadi kes mahkamah.

“Saya sudah menjawab hal ini, maksudnya sekarang sudah masuk kepada judicial review (semakan kehakiman), jadi kita tidak akan sebut lebih-lebih maknanya (tunggu) daripada AGC dan sebagainya.

“Sebab sudah masuk kes mahkamah, jadi setakat ini kita tunggu perjalanan dan proses seterusnya,” katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai pendirian KKM berikutan tindakan tiga NGO kesihatan dan kanak-kanak mengemukakan permohonan kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Menteri Kesihatan mengeluarkan nikotin daripada senarai bahan terkawal. – MalaysiaGazette