KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan disifatkan sudah terlambat untuk cuba mendapatkan semula keyakinan dan kepercayaan rakyat apatah lagi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ini kerana berdasarkan mood dan sokongan majoriti rakyat ketika ini jelas berpihak kepada Perikatan Nasional (PN) dan ini amat menakutkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelas beliau, kerajaan kini dikritik hebat berikutan tidak menunaikan janji-janji, kegagalan memacu ekonomi dan negara ke arah yang lebih baik serta tidak menjadi pemimpin mahu pun kerajaan yang efektif, berwibawa dan ‘up to date’.
“Ia tidak sebagaimana begitu hebatnya digambarkan di pentas ceramah mahu pun media sosial sebelum menjadi kerajaan.
“Mereka kelihatan lesu, tidak komited dan tidak mempunyai visi mahupun hala tuju yang jelas untuk memacu atau membawa negara ke arah yang lebih baik sebagaimana yang dijanjikan.
“Perilaku mereka sama sahaja sebagaimana ketika menjadi pembangkang, tiada beza malah secara tidak langsung menjatuhkan kredibiliti mereka sendiri di mata rakyat,” katanya dalam kenyataan di Facebook miliknya, di sini.
Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar Pas Pusat berkata, saat ini gabungan Pakatan Harapan-UMNO-Barisan Nasional sedang melalui zaman getir dan kelamnya.
“‘Mimpi indah’ yang didambakan mereka tidak menjadi kenyataan selepas memenangi PRU 15, bergabung dan menubuhkan kerajaan samada di peringkat negeri mahu pun Persekutuan,” katanya. – MalaysiaGazette