Sheikh Biman Sheikh Ahmad

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang giat memburu Sheikh Biman Sheikh Ahmad, 43, yang disyaki terlibat dengan sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa.

Menurutnya, alamat terakhir individu tersebut di No 53, Jalan Sama Gagah 15, Taman Telok Gedong Indah, Pelabuhan Klang, Selangor.

Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lelaki ini diminta menghubungi pegawai penyiasat, Siti Norazirah Ramli di talian 03-88700249 atau 019-8557290 atau emel kepada [email protected].

Dalam pada itu, SPRM berkata, pihaknya juga sedang giat memperoleh maklumat dalam siasatan sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa yang dipercayai menyogok penguat kuasa serta terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram.

Mengulas Op Jaguar yang dijalankan, SPRM berkata, pihaknya telah merakam penyataan individu-individu dan membuat penggeledahan di kediaman serta premis-premis terlibat.

Menurutnya, siasatan terperinci kes terbabit dilakukan susulan dakwaan mengatakan dalang sindiket itu dipercayai menyogok pihak penguat kuasa serta terbabit aktiviti pengubahan wang haram.

“Dalam perkembangan terkini Op Jaguar, SPRM telah merakam penyataan individu-individu terlibat, seterusnya membuat penggeledahan di kediaman serta premis-premis disyaki.

“SPRM turut menahan seorang lagi individu bagi membantu siasatan dan menjadikan jumlah yang ditahan setakat hari ini adalah seramai lapan orang,” ujarnya.

Tambahnya, SPRM juga telah mengenal pasti pegawai penguat kuasa yang bersekongkol dengan sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa terbabit. – MalaysiaGazette