Mahathir Mohamad
Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menggesa supaya kerajaan meneruskan projek monorel di Putrajaya.

Dr. Mahathir tidak dapat menerima alasan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bahawa khidmat bas perantara sudah mencukupi di pusat pentadbiran kerajaan tersebut.

“Sekarang pun kita dapati bas menghalang perjalanan trafik lain. Kalau hujah itu diterima berhentikan sahajalah KTM (perkhimatan komuter). KTM rugi tapi kita telah buat landasan berkembar dan kereta api elektrik. Sekarang ramai yang guna kereta api.

“Kereta api dan bas lain-lain cara. Kadang-kala kita dapati bas ada kemalangan dan lambat, bergantung kepada kualiti bas dan macam-macam masalah. Tak ada negara utamakan bas dan tolak rel. Rel mesti ada juga,” katanya.

Mahathir mengulas mengenai keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan projek monorel Putrajaya susulan terdapat alternatif pengangkutan awam lain di kawasan berkenaan.

Anthony dalam sidang Parlimen pada 27 Jun lalu menjelaskan, perkhidmatan bas pengantara sedia ada dari Putrajaya Sentral melibatkan lima laluan iaitu ke Presint 10, Presint 16, Presint 4, Presint 11 dan Ayer 8 juga telah ditambah baik

Mahathir yang terlibat secara langsung mengilham dan merekabentuk Putrajaya berkata, pusat pentadbiran kerajaan itu bakal mengalami kesesakan jalan raya pada masa depan dan satu-satu cara mengatasinya adalah dengan perkhidmatan rel.

“Saya berjumpa dengan (bekas) menteri (pentadbiran) yang lama, saya cakap buatlah monorel sebab nampak jambatan itu dah buat tapi tak ada monorel. Dia kata kerajaan (pada waktu itu) sedang timbang

“Ini ada orang daripada sektor swasta yang sanggup buat monorel pasal apa tidak teruskan? Patut diteruskan, sekarang ini kita dapati ada kesesakan trafik di Putrajaya. Sekarang ini fikir dalam tempoh 10 tahun, 20 tahun tak boleh bergerak,” katanya dalam program Skop MG.

Sementara itu, Mahathir mempersoalkan pelaksanaan semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura (KL-Singapura) yang telah dibatalkan semasa pentadbiran beliau selepas pilihan raya umum ke-14.

Beliau menegaskan, HSR tidak diperlukan bagi jarak perjalanan sejauh 200 kilometer kerana ia hanya menjimatkan masa 15 minit berbanding menggunakan kereta api biasa dan pembinaannya melibatkan kos yang tinggi.

“Saya batalkan kerana kos yang cukup tinggi. Sampai sekarang mereka tak bercakap berkenaan kos. Kereta api laju kos dia (menelan kos) berbilion ringgit dan kita tak ada duit kerana kita hendak bayar hutang.

“(Datuk Seri) Najib (Razak) hutang RM42 bilion. Tiap-tiap tahun kita bayar kadar faedah sahaja RM2 bilion. Jadi kita tak ada duit. Kita nak buat kereta api laju buat apa?” soal beliau.

Pelaksanaan HSR Kuala Lumpur-Singapura (KL-Singapura) akan dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta, MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp).

Malaysia dan Singapura sebelum ini bersetuju untuk membina projek berkenaan membabitkan nilai RM110 bilion sepanjang 350 kilometer yang dijangka memendekkan masa perjalanan antara kedua-dua bandar raya kepada 90 minit.

Namun, pada 1 Januari 2021, kedua-dua negara mengumumkan bersama penamatan projek HSR apabila gagal mencapai persetujuan bagi perubahan yang dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Disember 2020.

Pada Mac 2021, Malaysia mengumumkan pembayaran S$102.8 juta (RM320 juta) kepada Singapura selaku kos yang ditanggung bagi pembangunan projek HSR dan berkaitan pelanjutan penangguhannya dan pembatalannya.

Wawancara dengan Mahathir akan disiarkan di semua platform MalaysiaGazette pada 9.30 malam ini dalam program Skop MG.

Mahathir antara lain ditanya mengenai pentadbiran kerajaan sekarang, menteri yang menunjukkan prestasi dan tidak, isu 3R dan penggunaan Akta Hasutan.

Beliau juga memberi pandangan mengenai kuasa politik orang Melayu dan bagaimana Proklamasi Orang Melayu dapat menyatukan semula kaum berkenaan yang kini berbeza parti politik. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Dulu DsNR buat kau batalkan. Sekarang suruh teruskan. Apa dah terasa berdosa dah ke?

Comments are closed.