Foto: APMM

SEBUYAU – Proses pengapungan kapal menjadi pilihan terbaik untuk mengesan kesemua kru yang dipercayai hilang dalam insiden kapal dikenali sebagai MV Tung Sung, yang terbalik kira-kira empat batu nautika ke barat laut Pulau Burung berdekatan perairan Sebuyau, di sini pada Rabu lepas.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, memandangkan operasi menyelamat berisiko tinggi, pihak syarikat kapal perlu merancang dan melantik kontraktor yang berkemampuan dalam melaksanakan proses pengapungan itu.

“Proses ini perlu dilakukan secepat mungkin dan ia memakan masa agak lama kira-kira empat hingga lima hari kalau cuaca baik dan 10 hari atau lebih sekiranya cuaca buruk.

“Bukan mudah untuk mengenal pasti syarikat yang mampu melaksanakan proses pengapungan ini kerana ia memerlukan tenaga penyelam dan peralatan seperti kapal dan kren, yang mempunyai kapasiti mengangkat serta mengapungkan kapal tersebut,” katanya dalam sidang media di Pusat Kawalan Operasi di Jeti Awam Sebuyau, di sini, hari ini.

Menurutnya, proses pengapungan kapal perlu dilakukan dengan teratur dan profesional, selain kerja-kerja pengapungan akan dihentikan sekiranya cuaca buruk kerana faktor keselamatan.

“Penyelam perlu kenal pasti tempat yang bersesuaian untuk membuat kimpalan bawah air dan di setiap tempat itu akan diikat dengan wayar untuk disambungkan pada kren yang akan tarik kapal itu secara perlahan,” katanya sambil menambah kapal itu kini terkandas di air keruh dengan kedalaman kira-kira 50 meter.

Dalam pada itu, Zin Azman berkata, berdasarkan maklumat terkini hanya lapan anak kapal dikenal pasti berada di atas kapal berkenaan ketika memulakan pelayaran, susulan syarikat kapal itu telah mengesahkan Maxwell Billy Stimba, 26, tidak menaiki kapal berkenaan.

Katanya, berdasarkan penilaian awal, keadaan cuaca buruk dan ombak tinggi pada malam kejadian mungkin menyebabkan kapal terbalik dengan pantas dan anak kapal tidak dapat mengambil sebarang tindakan bagi mendapatkan bantuan.

Memasuki hari kedua operasi mencari dan menyelamat (Carilamat), beliau berkata, pihaknya telah mempertingkat tenaga kerja dan keluasan rondaan dengan penglibatan 97 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi.

“Operasi tersebut melibatkan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Pasukan Pengawal Pantai Sarawak, dengan penggunaan sembilan aset dan sektor rondaan seluas 373.65 batu nautika persegi berbanding semalam (210.48 batu nautika persegi),” katanya.

Menurut Zin Azman, kejadian itu berlaku pada Rabu kira-kira 11 malam, namun Maritim Malaysia hanya menerima laporan berhubung kehilangan kapal itu pada kira-kira 9.40 pagi keesokan harinya sebelum operasi Carilamat dimulakan pada 1.20 tengah hari dengan sebuah aset agensi itu KM Kinabalu digerakkan ke lokasi kejadian.

Kelapan-lapan kru yang hilang berumur dalam lingkungan 20 hingga 52 tahun dengan tiga daripadanya warga tempatan dari Sibu yang dikenali sebagai Chieng Siew Ngiek, Wong Hua Wu dan Stimba Anak Chuit.

Empat lagi mangsa merupakan warga Myanmar iaitu That Min July, Ye Lin Htet, Hla Win Tun, Tun Lin Oo dan seorang warga Indonesia, Lido Ali Purwanto. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast