perkhidmatan bantuan guaman Azalina UMNO
Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Kerajaan berhasrat untuk mengkaji semula kerelevanan undang-undang sedia ada bagi menangai isu 3R bagi memastikan perundangan selaras dengan perkembangan semasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, hasrat itu turut mengambil kira peningkatan jumlah kes provokasi isu agama, bangsa dan Institusi Raja-Raja baru-baru ini.

Katanya, walaupun terdapat undang-undang sedia ada bagi menangani isu itu termasuk Akta Hasutan 1948 (Akta 15), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) dan Kanun Keseksaan (Akta 574), namun ia harus diambil kira antara undang-undang itu, ada yang telah digubal tujuh dekad lalu.

“Selain itu, kerajaan turut peka terhadap cabaran dihadapi oleh pelbagai pihak penguatkuasa dalam pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang sedia ada ini.

“Antara cabaran dihadapi polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ialah penyebaran maklumat yang pantas melalui penggunaan teknologi canggih, akaun dalam talian palsu dan digodam, kerahsiaan nama yang tidak dapat dikesan serta teknologi kecerdasan buatan yang menyukarkan proses siasatan dan pendakwaan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut Azalina, satu sesi libat urus terdiri daripada Perbincangan Kumpulan Fokus dan Dialog Perundangan 3R Mengenai Isu Provokasi Melibatkan Agama, Bangsa dan Institusi Raja-Raja (3R) di Malaysia telah diadakan hari ini di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), Kuala Lumpur.

Katanya, sesi itu dihadiri lebih 50 wakil daripada kerajaan dan bukan kerajaan, termasuk Kementerian Perpaduan dan Kementerian Dalam Negeri, polis, SKMM, Badan-Badan Peguam, Pertubuhan Masyarakat Madani (CSO), Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), ahli akademik dan organisasi agama.

“Sesi libat urus ini diadakan bagi mengkaji keberkesanan perundangan sedia ada, serta cabaran terkini yang dihadapi oleh agensi penguatkuasa dan juga untuk menerokai model perundangan alternatif dalam menangani isu ini.

“Kita juga mengambilkira piawaian serta amalan terbaik di peringkat antarabangsa seperti Prinsip Camden, Pelan Tindakan Rabat dan Strategi serta Pelan Tindakan PBB Mengenai Ucapan Kebencian (UNSPAHS),” katanya.

Dalam sesi itu, tiga persoalan utama dikemukakan kepada peserta untuk tujuan perbincangan adalah sama ada Malaysia memerlukan:

  1. Pemansuhan Perundangan Sedia Ada dan Penggubalan Akta Baharu: mempertimbangkan sama ada memansuhkan perundangan seperti Akta 15 dengan digantikan undang-undang baharu bagi kesalahan yang lebih spesifik, selain kerajaan boleh mempertimbangkan untuk mewujudkan satu perundangan baharu yang berbentuk jenayah atau quasi jenayah/sivil.
  2. Pindaan Perundangan: iaitu membuat pindaan kepada perundangan sedia ada bagi memastikan isu provokasi 3R dapat ditangani secara holistik; atau
  3. Tiada Pindaan Perundangan (status quo): iaitu tiada perubahan perundangan diperlukan, di mana usaha menangani isu provokasi 3R diteruskan melalui pendekatan lain.

Jelas Azalina, kerajaan akan terus melibatkan semua pihak berkepentingan dalam mempertimbangkan hala tuju dasar dan perundangan holistik untuk dijadikan panduan kepada Kerajaan Perpaduan dalam menangani isu provokasi melibatkan 3R.

Pada masa sama, katanya, menggalakkan toleransi, keharmonian dan perpaduan dan hasil dari Perbincangan Kumpulan Fokus dan Dialog Perundangan 3R itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

“Kerajaan Perpaduan menyokong hak kebebasan bersuara sebagai hak rakyat Malaysia seperti mana yang dijamin di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Ini selaras dengan Perkara 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) dan mengambil kira hak kebebasan bersuara harus dimanfaatkan secara bertanggungjawab,” ujar beliau. – MalaysiaGazette