KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang memaafkan tiga pemimpin Perikatan Nasional (PN) iaitu Tan Sri Annuar Musa, Datuk Zuraida Kamaruddin dan Dr Afif Bahardin yang didakwa tersalah tafsir kenyataannya baru-baru ini.
Menurut bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, mereka membuat tuduhan melulu terhadapnya sebelum membaca penjelasan beliau berhubung kemungkinan Malaysia menghampiri episod kekacauan 13 Mei 1969.
Kit Siang berkata, seperti yang telah dijelaskan semalam, beliau sebenarnya bermaksud untuk menyeru semua parti politik dan calon yang bertanding pada enam pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini untuk meredakan suasana yang dipanaskan oleh polarisasi kaum dan agama serta berhenti mengeksploitasi isu agama, kaum dan raja (3R).
“Saya turut mengajak Annuar, Zuraida dan Dr Afif bersama-sama dalam usaha tersebut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dalam kenyataan kelmarin, Kit Siang berkata, “Selepas 54 tahun, Malaysia menghampiri satu lagi episod kekecohan seperti 13 Mei 1969”.
Kenyataan tersebut mengundang kecaman pelbagai pihak termasuk Annuar, Zuraida dan Dr Afif.
Kit Siang menambah, semua pihak sepatutnya belajar dari sejarah agar insiden kekacauan seperti yang berlaku pada 13 Mei 1969 tidak berulang.
“Kita mempunyai perbezaan dari segi politik namun ia perlu ditangani secara aman dan demokratik,” jelasnya.
Beliau juga mengakui bahawa kenyataan itu dikeluarkan tanpa berbincang dengan mana-mana pemimpin DAP terlebih dahulu. – MalaysiaGazette