SEREMBAN – Kerajaan diharap menyokong penganugerahan sambungan kontrak membekalkan baja subsidi diteruskan kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).
Pengerusi NAFAS, Datuk Zamri Yaakob turut berharap agar kontrak baja subsidi tersebut diberikan sepenuhnya kepada pertubuhan itu.
Beliau juga yakin Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu tahu mengenai status kontrak pembekalan baja NAFAS yang akan berakhir pada Disember nanti.
“NAFAS mohon Datuk Seri memberi perhatian berhubung perkara ini lebih-lebih lagi apabila Datuk Seri dan juga Timbalan Menteri telah pun melawat Kilang Baja NAFAS di Gurun baru-baru ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santai Peladang Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu Bersama Pemimpin Peladang 2023 (Zon Tengah) di sini, hari ini.
Zamri menambah, kilang tersebut merupakan aset strategik kerajaan dalam menjamin sekuriti makanan negara yang harus diperjuangkan.
“Ia bertepatan dengan aspirasi penubuhan kilang baja di Gurun pada 2004 iaitu Dari Peladang untuk Peladang,” jelasnya. – MalaysiaGazette