PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan membuka cawangan pejabat pasport yang baharu di Presint 1, tidak lama lagi.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjangkakan pembukaan cawangan baharu ini memberi kemudahan kepada komuniti yang tinggal di sekitar Serdang, Sungai Besi,Dengkil, Cyberjaya dan Cheras.
“Dengan adanya cawangan ini ia akan mengurangkan kesesakan waktu puncak yang sentiasa berlaku di ibu pejabat JIM di Putrajaya,” katanya dalam sidang media bersempena Sambutan Hari Imigresen 2023 di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya pagi tadi.
Saifuddin berkata, proses pembukaan cawangan baharu pejabat pasport imigresen kini dalam fasa akhir untuk disiapkan memandangkan ada sedikit kerja pengubahsuaian dan dijangka mengambil masa dua, tiga bulan lagi.
“Sebelum ini, kita sudah membuka cawangan pertama pejabat urusan pasport di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) dan ini adalah peluncuran semasa yang kedua untuk membantu mengurangkan kesesakan masyarakat berurusan dengan Imigresen.
“Isu kesesakan di pejabat pasport ini termasuk di pintu masuk memerlukan tumpuan utama dan sentiasa menjadi keluhan rakyat, jadi KDN perlu sentiasa menambah baik perkara ini sama ada dari segi teknologi, sistem mahupun aset-aset,” tambahnya.
Dalam pada itu kata beliau, sepanjang enam bulan pertama tahun ini JIM telah mengeluarkan sebanyak 1,613,751 pasport termasuk 68,416 pasport telah diproses dan dikeluarkan di ibu pejabat Imigresen di Putrajaya dengan purata 400 keping sehari. – MalaysiaGazette