SHAH ALAM – Pergerakan Pemuda Kerajaan Perpaduan hari ini menempelak Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa kenyataannya berhubung kes menghina Sultan Selangor sengaja diputar belit.
Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Selangor, Danial Al-Rashid Haron mempersoal pemahaman Muhammad Sanusi berkenaan institusi kesultanan sewaktu melemparkan tohmahan dalam ucapan ketika berceramah di Selangor.
Beliau berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri itu telah melakukan kesalahan apabila mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke mahkamah walhal sebelum itu membuat permohonan maaf kepada Sultan Selangor.
Danial turut menempelak penyokong-penyokong yang membela dan menunjukkan solidariti terhadap Sanusi.
“Kalau ingin pertahankan Sanusi, kenapa daripada awal Sanusi keluarkan surat untuk memohon ampun kepada Sultan Selangor? Kalau mereka rasa mereka betul, bukan itu tindakan awal yang patut dibuat Sanusi.
“Sepatutnya mereka lawan daripada awal, tetapi diberikan pula satu surat beri keampunan dan apabila ke mahkamah, kini menyatakan tidak bersalah. Jika Sanusi disabit bersalah, maka himpunan solidariti buatnya juga mencemar Kesultanan Selangor” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Himpunan Daulat Tuanku: Pertahan Institusi Diraja anjuran Pemuda Barisan Nasional (BN) dan Pemuda Pakatan Harapan (PH) Selangor di hadapan Masjid Dultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.
Himpunan yang berlangsung kurang sejam itu disertai kira-kira 50 penyokong serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang melaungkan “Hidup, Hidup, Hidup Rakyat! Daulat, Daulat, Daulat Tuanku!”.
Danial berkata, rakyat Selangor mahu Menteri Besar Kedah itu dihukum susulan tindakannya yang didakwa bermain politik fitnah selain mencaci maki.
“Bawalah polisi yang baik daripada pihak kamu kalau ada kejayaan yang boleh dibawa daripada Kedah, Kelantan dan Terengganu. Bawa polisi itu ke Selangor, dan kita lawan berasaskan polisi.
“Ini mereka guna jalan fitnah, pilih jalan membuat tohmahan yang tidak baik kepada Sultan untuk kononnya memberi tekanan kepada kita. Kita tidak akan gentar, kita akan bangkit melawan tohmahan ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Selangor, Mohd Hafiz Abd Rahman berkata, sebagai pemimpin tertinggi, Sanusi sepatutnya menjadi contoh yang baik kepada rakyat.
Ujarnya, Menteri Besar Kedah itu harus faham perkara yang boleh disentuh atau sebaliknya ketika berkempen.
“Sekarang umur 18 tahun dah boleh mengundi, tunjukkanlah kepada mereka ini politik matang dan bersih. Dia (Muhammad Sanusi) sebagai Menteri Besar sepatutnya lebih faham isu-isu sensitif yang sepatutnya tidak dimainkan.
“Justeru, kita mahukan tindakan tegas diambil terhadap Muhammad Sanusi susulan tindakannya supaya ia tidak dicontohi generasi akan datang,” katanya.
Pada Isnin depan, satu memorandum yang menyatakan sokongan penuh terhadap Sultan Selangor akan dihantar di ke Istana Alam Shah.
Memorandum itu akan ditandatangani oleh pemimpin parti politik Kerajaan Perpaduan dan NGO yang menjunjung kasih institusi kesultanan Selangor. -MalaysiaGazette