Fahmi Fadzil - Foto: MUHD NA’IM

KUALA LUMPUR – Pasukan Petugas Pelaksanaan Dwirangkaian 5G berjaya mencapai persetujuan berkaitan penyertaan ekuiti dan perjanjian akses 5G bersama Digital Nasional Berhad (DNB).

Pasukan tersebut dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Menteri KKD Fahmi Fadzil berkata, Celcom Digi, Maxis, Telekom Malaysia, U-Mobile dan YTL Communications akan memuktamadkan proses pemegangan saham dalam DNB.

“Seterusnya, menyokong pembangunan rangkaian 5G oleh DNB sehingga mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk menjelang penghujung 2023, sebelum beralih kepada model dwirangkaian seawal Januari 2024.

“Pihak syarikat penyedia perkhidmatan akan mengambil semua tindakan tatakelola sewajarnya bagi menyempurnakan proses ini,” katanya dalam kenyataan.

Setakat 30 Jun lalu DNB telah membangunkan infrastruktur rangkaian 5G meliputi 64.7 peratus kawasan berpenduduk.

Pembangunan infrasturktur tersebut berada di landasan tepat bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan iaitu 80 peratus menjelang hujung tahun ini.

Sementara itu menurut Fahmi, pihak Maxis telah memulakan proses untuk menandatangani perjanjian akses 5G bersama DNB setelah beberapa isu berkaitan perkara tersebut dimuktamadkan pada 11 Julai.

Katanya, pelanggan Maxis akan mula menikmati perkhidmatan 5G setelah syarikat tersebut mendapat kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) bulan depan.

“KKD dengan kerjasama semua pihak sentiasa memastikan aspirasi kerajaan direalisasi melalui proses yang inklusif, telus dan terangkum demi menjamin kualiti perkhidmatan yang terbaik untuk masyarakat Malaysia Madani,” katanya dalam kenyataan.

Celcom Digi, Telekom Malaysia, U-Mobile dan YTL Communications telah pun menawarkan perkhidmatan 5G selepas menandatangani perjanjian akses 5G bersama DNB sejak tahun lalu.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast