Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap pada sidang media selepas Sambutan Hari Imigresen 2023 di Dataran Pahlawan, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 21 JULAI 2023.

PUTRAJAYA- Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menepis dakwaan bekas Menteri Dalam Negeri. Datuk Seri Hamzah Zainudin kononnya beliau pernah merayu kepadanya agar  membatalkan keputusan pemilihan PKR pada 2022 selepas tewas kepada Rafizi Ramli dalam perebutan jawatan timbalan presiden parti tersebut.

Sebaliknya Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyata (PKR) menyifatkan dakwaan Hamzah sebagai ‘kenyataan politik ‘ menjelang musim Pilihan Raya Negeri 12 Ogos ini.

Menteri Dalam Negeri itu juga menegaskan, pertemuannya dengan Hamzah sebelum ini hanya atas kapasiti sebagai pengerusi bersama jawatankuasa di antara kerajaan dan pembangkang sewaktu pemerintahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Ketika itu saya hanya menjawab kepada surat risiko pembatalan PKR daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM). Kegagalan kami jawab surat tunjuk sebab.. JPPM boleh batalkan PKR.

“Ada beberapa aduan daripada pemilihan oleh anggota parti PKR diterima oleh JPPM. Jadi JPPM menulis kepada parti dan saya sebagai Setiausaha Agung PKR telah diberi tanggungjawab oleh Majlis Pimpinan Pusat PKR untuk respons kepada surat tunjuk sebab itu,” katanya dalam sidang media di Majlis Sambutan Hari Imigresen di Dataran Pahlawan Negara.

Semasa pemilihan PKR pada tahun lalu itu, Rafizi menewaskan Saifuddin dengan majoriti yang besar.

Mendedahkan perkara itu dalam satu ceramah politik baru-baru ini di Sik, Kedah, semalam, Hamzah yang juga pemimpin Perikatan Nasional mendakwa Saifuddin ada berjumpa dengannya lepas seminggu kalah dan menghantar surat memohon keputusan pemilihan tersebut dibatalkan.

Dalam pada itu, Saifuddin juga menegaskan beliau telah menjawab surat tunjuk sebab JPPM itu kepada PKR sebanyak dua kali untuk memastikan parti tidak terbatal.

“Itu hanya kenyataan berunsur politik dari dia (Hamzah) menjelang PRN negeri kali ini..-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast