KUALA LUMPUR – Tujuh penumpang termasuk juruterbang helikopter jenis Leonardo S.p.A AW189 dengan nombor pendaftaran 9M-BOF yang terlibat dalam kemalangan di kawasan apron UniKL MIAT Hangar dekat Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor hari ini dilaporkan stabil.
Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia, Kapten Norazman Mahmud berkata, helikopter yang dikendalikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu sedang menjalani ujian penerbangan ketika nahas berlaku.
Menurutnya, Menara kawalan trafik udara Subang menerima laporan kemalangan pada jam 11.52 pagi dan Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS) telah bertindak segera terhadap insiden tersebut.
Siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016. – MalaysiaGazette