Gambar hiasan

KUALA LUMPUR –  Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan secara berhati-hati minggu depan susulan peserta pasaran akan menumpukan perhatian kepada keputusan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) pada 26 Julai depan, kata seorang penganalisis.

Penganalisis Kanan Fastmarkets Dr Sathia Varqa berkata, keputusan untuk menaikkan kadar faedah akan memberi implikasi kepada mata wang pasaran sedang pesat membangun termasuk ringgit.

“Bagaimanapun, peningkatan pengeluaran bulan ke bulan dari Malaysia dibantu oleh cuaca baik dan stok tinggi di negara pengimport akan mengekalkan eksport meningkat pada kadar yang lebih perlahan,” katanya kepada Bernama.

Ditanya sama ada pasaran niaga hadapan MSM akan kekal melebihi RM4,000 satu tan metrik, penganalisis itu berkata, harga tidak akan kekal antara paras RM4,000 dan RM4,100 untuk tempoh yang lama disebabkan asas yang lemah.

Pasaran juga akan memantau perkembangan perjanjian eksport bijirin Laut Hitam minggu depan, kata seorang peniaga lain.

Pada asas mingguan, bulan semerta Ogos 2023 naik RM149 to RM3,993 satu tan metrik dan September 2023 meningkat RM136 kepada RM4,017 setan metrik.

Bulan semerta Oktober 2023 melonjak RM136 kepada RM4,035 setan metrik, November 2023 naik RM135 kepada RM4,043 satu tan metrik, Disember 2023 bertambah RM227 kepada RM4,047 setan merik manakala Januari 2024 berada pada RM4,058 satu tan metrik.

Jumlah dagangan merosot kepada 262,644 lot daripada 270,001 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 194,120 kontrak daripada 190,758 kontrak pada Jumaat lepas.

Harga fizikal MSM bagi Ogos Selatan berada pada RM4,020 satu tan metrik metrik.

Pasaran ditutup pada Rabu (19 Julai) sempena cuti umum Awal Muharram. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast