Perkarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. foto AFIQ RAZALI, 12 JUN 2020

KUALA LUMPUR – Pentadbir masjid dan surau di Selangor tidak dibenarkan sama sekali membantu atau terlibat dalam apa jua aktiviti yang berfokus politik, tegas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Malah, pihak masjid dan surau hendaklah menghalangnya daripada berlaku jika jelas secara tampak aktiviti atau program yang melibatkan calon parti bertanding, aktivis politik, gambar-gambar tokoh parti serta slogan dan lambang yang mewakili parti-parti tertentu.

Mereka juga hendaklah memastikan semua bentuk bahan kempen atau propaganda parti politik hendaklah dipastikan tidak berada di dalam premis bangunan atau di dalam kawasan pagar masjid dan surau.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, arahan itu bagi mengelakkan terdapat kemungkinan akan berlakunya usaha dan ikhtiar daripada parti-parti politik untuk mengadakan aktiviti propaganda politik mereka seperti di masjid dan surau di negeri Selangor.

“Aktiviti yang lazim sebelumnya adalah seperti program pengenalan calon yang bertanding dalam pilihan raya, Program Sumpah Mubahalah, program berkumpulan ahli dan penyokong parti untuk tujuan atau keutamaan ahli dan parti serta lain-lain seumpamanya.

“Perkara ini telah diingatkan kepada Pegawai dan Jawatankuasa Masjid dan Surau Negeri Selangor di dalam surat jabatan ini bertarikh 22 Ogos 2022M,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mohd Shahzihan menambah, ketetapan ini selaras dengan arahan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang mengkehendaki masjid dan surau sebagai zon aman dan bebas daripada propaganda politik dan politik kepartian.

Berdasarkan Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) Tahun 2017, pentadbir masjid dan surau hendaklah membantu apa juga ketetapan yang dibuat oleh MAIS.

Sebarang tindakan yang bersifat menghina atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan titah Sultan Selangor atau arahan MAIS, boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 12 (a) atau (b), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Pegawai masjid juga boleh, dalam masa yang sama dibatalkan pelantikannya oleh MAIS berdasarkan Peraturan 7 (f), Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) 2017, katanya. – MalaysiaGazette