Khaled dimajlis UPSI Smarthome Schooling@Johor di Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI – Program Temu Anwar, iaitu perjumpaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan para pelajar di beberapa universiti untuk berkongsi hala tuju negara dan mengalakkan mereka menjadi penyumbang kepada kejayaan Malaysia.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, lawatan itu langsung tiada kena mengena dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan pada 12 Ogos ini.

Sebaliknya, penganjuran program itu membolehkan Anwar mengambil berat tentang isu-isu melibatkan pelajar dan orang muda.

“Kalau kita dengar ucapan dia (Anwar), antaranya, dia mahu supaya pelajar menjadi  kritis, kreatif tetapi jangan taksub sebaliknya mestilah menggunakan pemikiran rasional.

“Semua tu, kalau saya pun, memang itulah yang saya nak cakap kepada pelajar kerana masa depan negara bergantung kepada (bagaimana) mereka dapat kita lahirkan,” kata beliau selepas merasmikan UPSI Smarthome Schooling@Johor di Sekolah Menengah Kebangsaan Jaafar Albar, Kota Tinggi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan segelintir pihak yang mahu perdana menteri menghentikan program itu di universiti, sebaliknya menumpukan sepenuh perhatian menangani kesukaran rakyat dan ekonomi negara.

Mengenai program UPSI Smarthome Schooling@ Johor, beliau berkata, ia merupakan program tuisyen berfokuskan lima mata pelajaran teras, yang akan membantu meningkatkan kualiti pendidikan murid B40 melibatkan calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia 2023.

Program tuisyen tersebut akan bermula 1 Ogos ini sehingga 22 Oktober 2023, melibatkan enam buah sekolah di Parlimen Kota Tinggi. – MalaysiaGazette