KUALA LUMPUR – Edisi pertama program bual bicara Platform terbitan MalaysiaGazette yang menampilkan empat pemimpin muda bermula panas.
Ketegangan pendapat dan pandangan dirasai antara Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Atyrah Hani Razali.
Atyrah Hani mempersoalkan sikap lantang Syed Saddiq terhadap pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak ditunjukkan semasa pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Syed Saddiq berada dalam kerajaan bersama Dr. Mahathir dia tidak pernah melakukan apa yang beliau lakukan sekarang, saya tak ingat anda begitu lantang seperti ini (ketika itu).
“Kerajaan Perpaduan tidak pun sampai setahun, baru tujuh bulan tetapi terlalu banyak pandangan serong terhadap kerajaan sekarang,” katanya.
Sebelum itu Ahli Parlimen Muar itu mengkritik kerajaan kerana tidak melakukan reformasi institusi seperti yang diperjuangkan sebelum ini.
Ini termasuk pemusatan kuasa Perdana Menteri yang turut menjawat jawatan Menteri Kewangan selain mengekal dan menggunakan undang-undang yang mahu dihapuskan seperti Akta Hasutan.
“Kerisauan saya jika kita meneruskan sistem sebegini contoh (terhadap) Menteri Besar Kedah, (Datuk Seri Muhammad) Sanusi, adakah apabila kita tidak bersetuju dengan dirinya kita boleh guna Akta Hasutan yang dulu kita tentang?
“Kata nak mansuhkan tapi kini buat lain. Ini tidak betul. Hari ini kita tepuk tangan gembira kerana dia lawan kita tetapi dalam dunia politik hari ini kita berada di atas esok di bawah, bila kita kena Akta Hasutan kita marah. Kita kata ini tidak adil,” tegas Syed Saddiq.
Ketegangan turut dirasai antara Ketua Penerangan Pemuda Pas Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar dan Pengarah Komunikasi dan Strategi Pemuda UMNO Malaysia, Farhan Khairuddin yang turut menjadi ahli panel berhubung isu menghina raja.
Farhan mendakwa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Sultan Selangor tidak cerdik kerana melantik Amirudin Shari sebagai menteri besar.
Bagaimanapun Khairul Nadzir membantah dengan mendakwa Muhammad Sanusi tidak pernah menyebut nama Sultan Selangor.
Edisi pertama Platform selama dua jam berlangsung di Panggung Eksperimen Universiti Malaya membawa tajuk ‘Pemimpin Muda, Cakap Tak Serupa Bikin’ dan dikenalikan oleh Haslina AR Kamarudin malam ini.
Program berkenaan boleh ditonton di semua platform media sosial portal berkenaan.-MalaysiaGazette