Ahmad atau Mat Jelira antara calon BN yang diberi kepercayaan bertanding pada PRN 12 Ogos ini.

KOTA BHARU – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas, Ahmad Deraman berjanji akan menyantuni semua peringkat lapisan pengundi di kawasan itu.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Datuk Md. Alwi Che Ahmad yang memberi kepercayaan kepadanya sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Saya berjanji akan menyantuni semua pengundi dalam DUN Kok Lanas tanpa mengira fahaman parti dan peringkat usia, tidak kira tua atau orang muda.

“Saya juga ucap terima kasih kepada Ayah Mad (Md. Alwi) yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk menggalas tugas sebagai calon di DUN Kok Lanas.

“Insya-Allah, saya harap seluruh rakyat Kok Lanas memberi sokongan dan mandat kepada saya untuk berbakti dan berkhidmat,” katanya di sini, hari ini.

Ahmad yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Jelira di kalangan penduduk Parlimen Ketereh adalah pemilik sebuah pasar raya di bandar itu.

Nama beliau diumumkan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) malam tadi oleh pucuk pimpinan UMNO dan BN.

BN dan UMNO bertanding di 31 kerusi DUN pada PRN 12 Ogos ini, dengan 14 kerusi lagi ditandingi Parti Amanah Negara (Amanah) iaitu komponen parti Pakatan Harapan (PH). – MalaysiaGazette