KUALA LUMPUR – DAP merakamkan ucapan takziah ke atas pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub malam ini.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, Salahuddin merupakan seorang pejuang dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang amat disanjungi dan disayangi oleh gabungan itu kerana prinsip perjuangannya yang tidak pernah meninggalkan rakan-rakan.
“Beliau laksana tugas Menteri KPDN dengan begitu baik, pelbagai inisiatif Rahmah telah diperkenalkan olehnya.
“Selepas menerima berita daripada pegawai Allahyarham, kita telah aturkan pesawat khas untuk bawanya pulang,” katanya dalam laman media sosial.
Salahuddin meninggal dunia pada jam 9.23 malam di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah.
Sementara itu, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berharap ahli keluarga Allahyarham akan dapat menghadapi suasana sukar itu dengan tabah.
”Tidak terungkap kesedihan dengan pemergian sahabat dan rakan seperjuangan saya, saudara Salahuddin Ayub. Ketokohan dan jasa menyemai benih harapan untuk masa depan negara ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh turut melahirkan rasa sedih dengan berita pemergian Salahuddin.
“Anda telah tinggalkan kita tanpa ucapan selamat tinggal,” katanya. – MalaysiaGazette