Pegawai kanan polis kontinjen KL ditahan SPRM selepas disyaki melindungi aktiviti haram di sekitar ibu negara.

KUALA TERANGGANU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan penjawat awam dan isterinya kerana disyaki menyalah guna kuasa.

Penjawat awam disyaki mengesyorkan syarikat milik ibubapanya yang diuruskan oleh isteri beliau bagi mendapatkan perolehan kerja di sebuah jabatan kerajaan di Terengganu.

Menurut sumber, kes tersebut dipercayai berlaku sejak 2019 dan ia melibatkan perolehan kerja bernilai ratusan ribu ringgit.

Katanya, dalam operasi yang dijalankan SPRM pada hari ini, suruhanjaya tersebut merampas beberapa kenderaan mewah milik pasangan tersebut dianggarkan bernilai lebih RM100,000.

Ujar beliau, suspek pertama yang merupakan seorang pegawai awam berusia lewat 30-an ditahan kira-kira jam 6 petang manakala isterinya yang berusia 40-an ditahan kira-kira jam 3.30 petang di pejabat SPRM Negeri Terengganu ketika hadir memberi keterangan.

Katanya, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu esok bagi mendapatkan permohonan reman.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid yang mengesahkan penahanan tersebut berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009.

Siasatan menyeluruh akan dijalankan dengan kemungkinan suspek juga terlibat dengan kerja-kerja perolehan lain, tambah beliau. – MalaysiaGazette