IPOH – Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan menunggang motosikal secara berbahaya di KM329 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat Tapah seperti video yang tular menerusi media sosial.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kedua-duanya yang berusia 19 dan 21 tahun serta beralamat di Tanjung Tualang, Batu Gajah ditahan pada 11 pagi tadi.
Beliau berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah telah mengesan satu video berdurasi satu minit tiga saat yang dimuat naik seorang pemilik akaun Facebook menerusi halaman ‘Dashcam CCTV Malaysia’ dan ‘Kementerian Netizen Malaysia’ berkaitan beberapa penunggang motosikal melakukan aksi menunduk dan meniarap di atas motosikal mereka.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 1.47 tengah hari semalam yang dirakam menerusi kamera papan pemuka sebuah kenderaan yang ketika itu dalam perjalanan dari Tanjung Malim ke Ipoh.
“Polis telah pergi ke alamat berasingan di Tanjung Tualang dan menemukan dua lelaki yang bekerja sebagai penyenggara mesin sawit dan juruteknik serta mereka mengaku menunggang motosikal terbabit seperti video yang tular,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Mohd Yusri berkata, pihaknya turut merampas motosikal yang digunakan semasa kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, pihaknya akan terus mempertingkatkan operasi bagi membanteras sepenuhnya isu samseng jalanan dan orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan serta undang-undang jalan raya ditetapkan. – Bernama