ISLAMABAD – Lembaga Penapis Filem Punjab melarang tayangan filem ikonik Barbie, komedi fantasi yang dinanti-nantikan di pawagam di negeri itu kerana kandungannya yang tidak sesuai, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Tayangan filem itu di Punjab dihentikan, walaupun di kawasan lain di Pakistan tayangannya masih diteruskan.

“Filem itu diharamkan kerana kandungan yang tidak sesuai. Dialog yang tidak sesuai telah disunting dan lembaga pengarah penapis filem akan menyemaknya semula sebelum membuat keputusan mengenai tayangannya,” kata Setiausaha Penerangan bagi Punjab, Ali Nawaz Awan, pada Isnin..

Ini bukan kali pertama sesebuah tayangan filem diharamkan di Pakistan.

Pihak berkuasa Pakistan telah mengharamkan beberapa filem India yang menayangkan aspek negatif agensi perisik negara itu, selain membabitkan kandungan lain yang menjadi topik tabu.

Tahun lepas, kerajaan mengharamkan filem Joyland kerana bimbang reaksi negatif masyarakat Islam yang konservatif.

Joyland ialah produksi pertama Pakistan yang ditayangkan di Festival Filem Cannes.

Kumpulan pelampau Islam menentang budaya lesbian, gay, biseksual, trans dan queer (LGBTQ), yang dianggap tabu di Pakistan seperti yang berlaku di kebanyakan dunia Islam. – Bernama-dpa