Noor Hariri Mohamed Noor

PASIR MAS – Anak muda, Noor Hariri Mohamed Noor antara 31 calon Barisan Nasional (BN) Kelantan yang dipilih pucuk pimpinan untuk membawa perubahan kepada rakyat negeri itu dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tendong khususnya.

Pemimpin muda yang selama 21 tahun menceburkan diri dalam arena politik ini harus diberi peluang oleh pengundi Tendong pada hari mengundi 12 Ogos ini untuk menjadi wakil mereka menyampaikan suara dan hasrat demi kemajuan kawasan itu.

Noor Hariri yang memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas bagi penggal 2023-2026 merupakan anak muda yang proaktif dalam menyelesaikan beberapa isu yang dihadapi penduduk.

Tetapi disebabkan Kelantan bukan di bawah pentadbiran kerajaan BN, yang kini bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) menerajui Kerajaan Perpaduan, usahanya tidak pernah mendapat perhatian.

Sebelum ini pun Noor Hariri (kanan) banyak menghabiskan masa menyantuni penduduk Tendong.

Namun belum terlambat bagi seluruh penduduk Tendong dan Kelantan khasnya untuk membuat perubahan dengan memberi kemenangan secara dominan kepada PH-BN mengambil alih pentadbiran negeri, yang 33 tahun mundur di bawah Pas.

“Saya akui perlu bekerja lebih kuat untuk meyakinkan seluruh pengundi dalam DUN ini agar bersedia untuk membuat perubahan pada PRN ini. Cukuplah selama 33 tahun mereka hidup dalam serba kekurangan dan kedaifan.

“Saya berjanji, sekiranya menang dan Kelantan ditadbir oleh kerajaan baharu PH-BN, permasalahan yang membelenggu hidup rakyat akan diatasi sebaik mungkin. Cuma saya merayu, berilah peluang kepada saya kali ini untuk menjadi wakil rakyat anda.

“Selama ini pun, BN telah membuktikan kemampuan dan keupayaannya membela nasib hidup rakyat seperti dikecapi rakyat di negeri yang ditadbir oleh BN,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Noor Hariri, 46, merupakan anak jati Pasir Mas yang dilahirkan di Kampung Slow Teliar, Bunut Susu.

Beliau lulusan Diploma Tinggi Perakaunan dari Kolej Yayasan Mara Dublin Business School of Ireland dan Perakaunan Profesional Bertauliah (ACCA-Part 3) Dublin Business School of Ireland.

Beliau yang kini menjawat jawatan Pegawai Khas Pengerusi FELCRA Berhad, turut berpengalaman sebagai Juruaudit Firma PKF Ramli & Co tahun 2002 hingga 2004, Pengurus HN Permata Enterprise (2004 – 2018), Pengurus Ramoha Facilities Management (2009 – 2019) dan Pengarah Limbongan Araf Sdn. Bhd. (2011 – 2016).

Noor Hariri (kanan) sering bersama penduduk setempat jika ada kematian.

Selain itu, Noor Hariri juga pernah memegang jawatan Pengarah Mega PJ Sdn. Bhd. dari 2012 hingga 2018 dan Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Kemajuan Pembangunan Luar Bandar pada 2020 hingga 2021.

Mendirikan rumah tangga dengan pasangannya, Aniza Anwar dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Noor Luqman Hakim, 15; pasangan kembar, Nur Aishah Balqish dan Nur Khadijah Sofia, 14; serta Nur Fatimah Zahrah, 11.

Isterinya lulusan BBA (Hons) International Business, Universiti Teknologi Mara (1996-1998) dan Diploma In Banking, Universiti Teknologi Mara (1993-1996).

Dalam badan bukan kerajaan (NGO), bekas Ketua Pemuda UMNO Kelantan ini pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Puncak Jalil 5 (PUJ 5); Penaung Kelab Basikal Serakai Mas Cycling Club, Pasir Mas (SMCC), Pengerusi Gerakan Mahasiswa dan Pelajar Anak Kelantan (GEMPAK); dan Penaung Kelab Belia ABE.

Beliau juga Naib Yang Dipertua PIBG SK Seksyen 1 Bandar Kinrara, Puchong, Selangor; Yang Dipertua PIBG SRA Bandar Kinrara 5, Puchong, Selangor; Yang Dipertua PIBG SK Gelang Mas, Pasir Mas, Kelantan; dan Yang Dipertua PIBG SMK Meranti, Pasir Mas, Kelantan.

Dalam politik, Noor Hariri menjadi ahli UMNO tahun 2002, kemudian Ketua Pemuda UMNO Cawangan Slow Teliar (2013-2018), Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Mas (2015-2018), Ketua UMNO Cawangan Slow Teliar, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Mas, Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Ketua Pemuda BN Kelantan, Ahli Badan Perhubungan UMNO Kelantan dan kini Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas.

Sepanjang dalam UMNO, beliau banyak memperjuangkan hak dan nasib rakyat Kelantan yang dianggap sebagai ketinggalan akibat kegagalan kerajaan Pas membawa masuk pembangunan dan kemajuan.

Beliau amat terkesan dengan masalah air yang dihadapi penduduk sejak sekian lama, tanpa ada pengakhiran yang menggembirakan rakyat.

Justeru, beliau berharap pada hari mengundi 12 Ogos ini, rakyat Kelantan dan pengundi di tiga DUN dalam Parlimen Pasir Mas termasuk Tendong membuat keputusan bijak dengan memberi kemenangan kepada calon BN.

“Sudah sampai masanya rakyat Kelantan membuat perubahan. Berilah satu kali ini peluang kepada BN dan PH menjadi kerajaan mereka dan lihatlah apa perubahan yang bakal dibawa masuk nanti,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Pengundi Tendong kata tidak SALAH Noor Hariri berangan-angan kerana itu percuma. Orang Pasir Mas kata UMNO nak KEKAL sebagai PEMBANGKANG di KELANTAN pun macam tak nampak jalan… ZAHID HAMIDI tidak terima laporan PENGINTIP ke atau masih macam BODOH seperti PRU 15

Comments are closed.