LONDON – Newcastle United akhirnya berjaya melengkapkan proses perpindahan mendapatkan bekas pemain utama Leicester City, Harvey Barnes dengan kontrak selama lima tahun.
Pemain sayap berusia 25 tahun yang telah lama menarik perhatian The Magpies melibatkan yuran £38 juta (RM223.31 juta).
“Newcastle United dengan sukacitanya mengumumkan kemasukan pemain sayap, Harvey Barnes dengan yuran yang tidak didedahkan.
“Pemain berusia 25 tahun itu telah menandatangani kontrak lima tahun,” tulis kelab itu di laman web mereka.
Barnes yang ke Tyneside untuk menjalani ujian perubatan minggu lalu merupakan pemain baharu ketiga ditandatangani Newcastle selepas ketibaan pemain tengah AC Milan, Sandro Tonali dan penyerang Odense, Yakuba Minteh awal bulan ini.
Graduan akademi The Foxes itu telah melakukan 187 penampilan bersama Leicester yang tersingkir ke Liga Kejuaraan musim depan.
Dia juga pernah memenangi Piala FA pada 2021 dan merupakan pemain kebangsaan England.
Newcastle pula menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris musim lalu di tempat keempat. – Agensi