Bursa Malaysia
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa (tengah) bergambar kenangan selepas Pelancaran Program Kelas Master Dasar dan Peraturan Telekomunikasi Bergabung (CTPR) 2023 di Hotel Zenith, Putrajaya. Foto FAREEZ FADZIL, 24 JULAI 2023.

PUTRAJAYA – Industri komunikasi dan multimedia (C& M) menyumbang kepada RM140.38 bilion atau 8.1 peratus daripada nilai keseluruhan modal pasaran Bursa Malaysia yang berjumlah RM1,736.21 bilion setakat 31 Disember lalu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Fahmi Fadzil berkata, angka tersebut menunjukkan peranan penting industri tersebut dalam menjana pertumbuhan ekonomi digital dan pembangunan ekosistem yang pesat.

“Kewujudan industri C & M dalam Bursa Malaysia melambangkan kepentingannya sebagai kuasa pemandu di sebalik kemajuan teknologi dan transformasi digital.

“Melalui penyediaan saluran komunikasi dan multimedia yang efisien, industri ini berperanan sebagai pemangkin bagi pelbagai sektor untuk menjana kuasa ketersambungan dan inovasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan program Kelas Master Dasar dan Peraturan Telekomunikasi Bergabung (CTPR) 2023 di sini, hari ini.

Teks ucapan Fahmi dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Turut hadir, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din serta Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Multimedia University (MMU), Prof Datuk Dr Maszliham Mohd Su’ud.

Sementara itu, Fahmi berharap, peserta-peserta CTPR Master Class akan beroleh kemahiran, kecekapan dan pengetahuan yang baharu bagi melengkapkan diri mereka denagn pelbagai cabaran.

Menurut beliau, usaha bersama MMU, Persatuan Sistem Komunikasi Mudah Alih (GSMA) London dan SKMM itu dapat menangani keperluan komunikasi global serta industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan peranti mudah alih.

“Program ini menyediakan platform rangkaian yang sangat bagus bagi pengamal industri untuk berkongsi fikiran dan mengembangkan idea mereka dengan personaliti-personaliti terkemuka di dalam dan luar negara,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast