KUALA LUMPUR – Kadar inflasi negara pada bulan Jun 2023 reda kepada 2.4 peratus, terendah dalam enam bulan pertama tahun ini dengan indeks harga pengguna (IHP)mencatatkan 130.4 berbanding 127.4 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, kenaikan perlahan inflasi di Malaysia didorong oleh peningkatan lebih rendah bagi kumpulan
restoran & hotel, 5.4 peratus (Mei 2023: 6.7%); makanan & minuman bukan alkohol, 4.7 peratus (Mei 2023: 5.9%) dan hiasan, perkakasan & penyelenggaraan
isi rumah, 2.3 peratus (Mei 2023: 2.7%).
Selain itu, kenaikan inflasi di Malaysia pada Jun 2023 turut didorong oleh peningkatan bagi kumpulan pelbagai barangan & perkhidmatan (2.6%); kesihatan (2.0%) dan pendidikan (1.9%). perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain dan perkhidmatan rekreasi & kebudayaan pula masing-masing meningkat 1.8 peratus dan 1.6 peratus.
Ini dikuti oleh minuman alkohol & tembakau (0.6%) dan pakaian & kasut (0.1%).
Kumpulan makanan & minuman bukan alkohol menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP telah merekodkan peningkatan sederhana iaitu 4.7 peratus
(Mei 2023: 5.9%).
Komponen makanan di rumah merekodkan peningkatan lebih rendah untuk empat bulan berturut-turut kepada 3.2 peratus pada Jun 2023 berbanding 4.3 peratus yang direkodkan bulan sebelumnya manakala bagi komponen Makanan di luar rumah mereda kepada 6.8 peratus berbanding 8.1 peratus yang direkodkan pada Mei 2023.
Kenaikan komponen makan di rumah didorong terutamanya oleh subkumpulan zusu, keju & telur (6.0%); beras, roti & bijirin lain (5.3%); daging (5.2%); gula, jem, madu, coklat & manisan (3.6%); kedua-dua subkumpulan buah-buahan dan ikan & makanan laut masing-masing meningkat sebanyak 2.9 peratus dan 1.6 peratus.
Selain itu, sayur-sayuran dan minyak & lemak masing-masing terus menurun kepada negatif 1.6 peratus dan negatif 0.9 peratus.
Subkumpulan daging yang merangkumi daging ayam, daging lembu, daging babi, daging kambing, daging kerbau dan daging itik mencatatkan peningkatan 5.2 peratus
pada bulan Jun 2023 (Mei 2023: 7.8%).
Ayam mereda 2.6 peratus berbanding 6.7 peratus pada bulan Mei 2023 dengan purata harga ayam standard di Semenanjung Malaysia meningkat sedikit kepada RM9.93 sekilogram pada bulan Jun 2023 berbanding RM9.61 sekilogram pada bulan Jun 2022, lebih tinggi daripada harga siling yang ditetapkan iaitu RM9.40 sekilogram.
Sementara itu, purata harga ayam standard Malaysia meningkat kepada RM10.54 sekilogram berbanding RM10.02 sekilogram pada bulan Jun 2022 (Mei 2023: RM10.45).
Peningkatan pada subkumpulan ini turut didorong oleh kenaikan daging babi (24.6%) dan daging itik (6.7%).
Selain itu, subkumpulan susu, keju & telur mencatatkan peningkatan lebih rendah kepada 6.0 peratus pada Jun 2023 berbanding Mei 2023 (6.5%).
Kelas perbelanjaan susu tepung & keluaran susu lain yang menyumbang 51.4 peratus wajaran kepada subkumpulan ini, meningkat lebih perlahan kepada 6.2 peratus berbanding Mei 2023 (6.4%).
Namun susu tepung bayi (10.1%) (Mei 2023: 9.5%) dan telur ayam (4.1%) (Mei 2023: 4.0%) meningkat pada kadar lebih tinggi pada bulan Jun 2023.
Subkumpulan beras, roti & bijirin lain juga meningkat pada kadar perlahan iaitu sebanyak 5.3 peratus pada bulan Jun 2023 (Mei 2023: 6.0%) disumbangkan oleh tepung gandum yang telah meningkat perlahan sebanyak 8.1 peratus berbanding peningkatan dua digit yang dicatatkan pada bulan Mei 2023 (15.3%).
Antara produk makanan berasaskan tepung yang telah mencatatkan peningkatan yang lebih rendah adalah mi basah dan roti putih.
Subkumpulan minyak & lemak terus mencatatkan penurunan bagi tiga bulan berturut-turut iaitu negatif 0.9 peratus pada bulan Jun 2023 (Mei 2023: -0.4%) dipacu oleh harga runcit maksimum minyak masak kemasan botol yang dikekalkan bagi satu hingga lima kilogram sejak November 2022.
Inflasi bagi subkumpulan sayur-sayuran merekodkan penurunan pada bulan Jun 2023 iaitu negatif 1.6 peratus berbanding negatif 1.1 peratus pada bulan Mei 2023 manakala, perbandingan secara bulan ke bulan ianya merekodkan peningkatan marginal kepada 0.1 peratus berbanding 0.7 peratus pada Mei 2023.
Keadaan cuaca yang lebih baik dan peningkatan pengeluaran tempatan menjadi punca penurunan harga sayur-sayuran.
Pada asas bulanan, antara sayur-sayuran yang mencatatkan penurunan adalah bayam hijau, kangkung dan kailan.
Inflasi Pengangkutan bagi Jun 2023, kekal tidak berubah berbanding Jun 2022 dengan subkumpulan perkhidmatan pengangkutan dan pembelian kenderaan
masing-masing meningkat sebanyak 5.2 peratus dan 1.9 peratus.
Namun, penurunan inflasi subkumpulan pengurusan alat pengangkutan persendirian sebanyak negatif 0.6 peratus, sedikit sebanyak telah mengimbangi inflasi kumpulan
ini dari meningkat.
Penurunan subkumpulan pengurusan alat pengangkutan persendirian disumbangkan oleh penurunan kelas perbelanjaan bahan api & pelincir
untuk pengangkutan persendirian kepada negatif 3.8 peratus berbanding negatif 2.4 peratus pada Mei 2023.
Selain itu, penurunan harga minyak petrol tanpa plumbum RON97 kepada negatif 29.4 peratus pada bulan Jun 2023 (RM3.37 seliter) berbanding Jun 2022 (RM4.77 seliter) turut menyumbang kepada penurunan kelas perbelanjaan ini. – MalaysiaGazette